mutakhir

Solat sunat istisqa mohon hujan

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

MIMBAR Jumaat, Masjid Putra, semalam mengingatkan masyarakat Islam supaya mengikuti saranan dikeluarkan pihak berwajib bagi mengelak kesan jerebu yang melanda negara buat masa ini.

Menurut teks dibacakan khatib Ustaz Shamsul Bahari Dahalan, semua anggota masyarakat perlu mengurangkan aktiviti fizikal di luar kediaman, menggunakan penutup hidung dan mulut ketika berada di luar, kurangkan sumber pencemaran dalaman seperti asap rokok, menggunakan penghawa dingin ketika memandu dan banyakkan minum air kosong.

“Dalam usaha memulihkan kembali keadaan jerebu ini, mimbar juga menyarankan kepada semua jawatankuasa kariah masjid dan surau untuk mengadakan solat sunat istisqa bagi mengharapkan agar Allah SWT menurunkan hujan dan menghilangkan jerebu ini.

“Sesungguhnya doa dengan penuh pengharapan dan keikhlasan kepada Allah SWT dan penyesalan atas segala dosa yang dilakukan pasti akan dikabulkan jua.

“Semoga dengan usaha dan tawakal setiap pihak dan anggota masyarakat untuk memulihkan keadaan jerebu ini akan diberkati dan dirahmati Allah SWT,” katanya.

Menurut khutbah itu, keadaan jerebu ini juga bukan sahaja memberi kesan terhadap kesihatan, bahkan mendatangkan pelbagai penyakitt kronik seperti sakit mata, jantung, asma, radang paru-paru dan batuk.

“Negara kita sedang menghadapi masalah jerebu. Kejadian jerebu yang berlaku ini telah menjejaskan aktiviti dan kehidupan masyarakat.

“Di beberapa kawasan, sesi persekolahan terpaksa dibatalkan malah operasi beberapa sektor pekerjaan turut terjejas,” katanya.

Disiarkan pada: September 21, 2019 @ 5:01am
d