mutakhir

Dakwaan kena ada bukti kukuh - Mufti WP

Oleh Balqis Jazimah Zahari

MUFTI Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri meminta pihak yang mendapat maklumat mendakwa wang kertas di negara ini dipercayai mengandungi lemak babi, mendapatkan pengesahan dan laporan makmal sebelum mengeluarkan sebarang dakwaan.

Beliau berkata, ia kerana isu sensitif seperti itu memerlukan penelitian yang sahih dan pengesahan daripada pihak berwajib berkaitan.

“Jika kamu membuat sebarang dakwaan, maka datangkanlah dalil, jadi hak untuk menyemak dan meneliti isu ini sudah tentu daripada makmal.

“Berkemungkinan ada kena mengena dengan halal daripada pihak JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia), pada makmal (ujian yang dilakukan), makmal yang lebih standard dan lebih baik untuk kita benar-benar memahami apakah itu (dakwaan) benar atau tidak.

“Ini kerana sekadar satu dakwaan atau satu kenyataan (tidak memadai), (ia) perlu kepada penelitian yang kukuh,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir sebagai panel pada program Konvensyen Rahmah Negeri Perak Darul Ridzuan di Dewan Saidina Abu Bakar, Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM) di Ipoh, hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan sebuah portal berita memetik kenyataan seorang pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) mendakwa beliau mendapat maklumat wang kertas di negara ini dipercayai mengandungi lemak babi.

Laporan itu memetik kenyataan Prof Dr Zhari Ismail daripada Pusat Pengajian Sains Farmasi USM, mendakwa maklumat itu diperoleh daripada pemain industri itu sendiri yang mendakwa ada menggunakan lemak babi dalam proses menghasilkan wang kertas di negara ini.

Zulkifli berkata, beliau yakin kerajaan akan mengambil tindakan yang terbaik jika perkara terbabit disabitkan dan mempunyai bukti jelas terhadap dakwaan itu.

"Jadi, mesti datangkan bukti, dalil dan mesti yang disahkan oleh pihak berwajib, kita seboleh-bolehnya elakkan sebarang bentuk kenyataan yang kadang-kadang boleh mengeruhkan lagi isu ini," katanya.

Disiarkan pada: September 21, 2019 @ 12:54pm
d