mutakhir

Bahang panas bakal berakhir [METROTV]

Oleh Mohd Roji Kawi

KEBAKARAN hutan dan belukar di dua lokasi di Sri Aman dijangka dapat diselesaikan dengan segera susulan operasi besar-besaran yang dilancarkan, hari ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pelbagai agensi kini berganding bahu menangani kebakaran itu bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Ia termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selain bantuan helikopter JBPM serta pesawat Bombardier CL-415 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

“Operasi hari ini dilaksanakan dengan dua kaedah iaitu pemadaman di darat serta pelepasan air dari udara.

“Kita yakin dengan kaedah ini, kebakaran hutan dan belukar di sini dapat ditangani segera,” katanya yang ditemui ketika meninjau Pos Kawalan Bomba (PKB) di Kampung STC di Sri Aman, hari ini.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, hujan yang berlaku kira-kira sejam malam tadi turut memudahkan operasi hari ini selain menurunkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Sri Aman.

“Semalam kita bimbang apabila IPU di sini mencecah tahap bahaya iaitu 420 tetapi hari ini sudah menurun ke tahap tidak sihat atau melebihi 100,” katanya.

Beliau berkata, berikutan kebakaran hutan dan jerebu teruk itu pertama kali berlaku di Sri Aman, pihak berkuasa di daerah itu sudah diarah meneliti puncanya bagi memudahkan tindakan diambil untuk menanganinya.

“Selain jerebu rentas sempadan, kualiti udara di sini terjejas teruk akibat kebakaran hutan di daerah ini sendiri sebab itu kita mahu mengenalpasti puncanya.

“Ia akan memudahkan kita membuat persediaan seperti di Miri. Apabila sudah mengenalpasti punca dan lokasi berisiko di Miri, kita membina menara kawalan untuk memudahkan mengesan kebakaran hutan, membina telaga tiub untuk menakung air bagi memudahkan operasi pemadaman,” katanya.

Mengenai masalah bekalan air yang melanda Sri Aman sejak hampir dua bulan lalu, Uggah berkata, hujan lebat malam tadi turut membantu mengurangkan masalah itu apabila paras air di loji rawatan mula meningkat.

“Kecuali Engkelili, loji rawatan air lain sudah hampir pulih sepenuhnya dan kita mengharapkan hujan lagi untuk mengatasi sepenuhnya masalah itu,” katanya.

Lagi berita berkaitan Ancaman Jerebu

Disiarkan pada: September 21, 2019 @ 1:21pm
d