mutakhir

Terima kasih Cikgu Maisarah

Oleh Poliana Ronnie Sidom

WANG saku RM2 yang dibawa ke sekolah hanya mencukupi untuk tambang bas pergi balik menyebabkan Roslina Abdul Marad, 13, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK)

St Cecelia di Sandakan cuma mampu meneguk air kosong ketika di sekolah.

Roslina anak kedua daripada lima beradik itu yang ditinggalkan bapa sejak kecil terpaksa berlapar setiap kali ke sekolah kerana ibunya tidak bekerja, sebaliknya cuma mengharapkan pendapatan abangnya antara RM10 hingga RM20 sehari sebagai pengumpul besi untuk menampung keluarga.

Bagaimanapun, keperitan Roslina itu sedikit berkurangan susulan inisiatif guru bimbingan dan kaunseling sekolah itu, Maisarah Hannan Chong Abdullah yang menyediakan makanan percuma kepada pelajar pada setiap Selasa, Rabu dan Jumaat.

Ketika ditemui, Roslina berkata, dia dapat menikmati nasi lemak, nasi kuning, bubur atau kuih di sekolah secara percuma hasil inisiatif guru itu.

“Tambang sekolah RM1.40 pergi balik, tidak cukup untuk beli makanan di kantin. Di rumah pun biasanya kami cuma makan nasi putih berlaukkan garam atau kicap,” katanya sambil memberitahu bercita-cita menjadi guru untuk mengubah taraf keluarga.

Seperti Roslina, Fahsa Faizal, 13, juga antara pelajar yang bergantung dengan makanan percuma disediakan guru itu kerana tidak mampu membeli makanan di kantin sekolah dengan bapa cuma bekerja sebagai buruh kasar.

Fahsa berkata, dia berasa beruntung apabila guru kaunseling itu menyediakan makanan percuma, sekali gus membolehkannya mengisi perut dan menumpukan perhatian ketika belajar.

Sementara itu, Maisarah berkata, projek makanan percuma itu dimulakan sejak Mac 2018 selepas melihat ramai pelajar miskin yang terpaksa berlapar di sekolah.

“Pelajar mulanya tidak mahu mengaku tiada wang apabila saya tanya kenapa tak ke kantin waktu rehat. Apabila saya panggil dan tanya mereka, baru saya tahu mereka tiada wang, tidak mampu bawa bekal dari rumah kerana tiada makanan.

“Ada juga pelajar yang datang dari Pulau Berhala dan biasanya mereka sudah tiba di sekolah sejak jam 9 pagi biarpun bersekolah pada sesi petang,” katanya.

Maisarah berkata, atas faktor itu beliau mengambil inisiatif menyediakan makanan percuma dengan pada mulanya cuma menggunakan duit sendiri untuk menyediakan 15 hingga 20 pek makanan sehari, sebelum usaha itu mendapat perhatian guru lain, ibu bapa dan masyarakat.

“Sekarang sudah ada penderma tetap dengan ada antara mereka yang saya tak kenali. Sekarang saya sediakan makanan sehingga 50 pek sehari,” katanya.

Atas kejayaan projek makanan percuma itu, Maisarah kemudian memperkenalkan projek minuman percuma yang dibekalkan pada Selasa atau Khamis untuk diberi bukan saja kepada pelajar malah guru, tukang kebun atau pengawal keselamatan yang melalui pintu gerbang sekolah.

Disiarkan pada: September 21, 2019 @ 5:03pm
d