mutakhir

Jerebu makin berkurangan

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

JEREBU yang melanda negara kini menunjukkan pengurangan signifikan selepas hanya 18 kawasan di seluruh negara mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat sehingga jam 5 petang ini.

Data menunjukkan majoriti kawasan lain merekodkan bacaan IPU sederhana berbanding bacaan yang diperoleh sejak beberapa hari lalu.

Sri Aman di Sarawak yang mencatatkan IPU bahaya semalam menunjukkan penurunan dengan bacaan 107 berbanding 407 untuk tempoh sama semalam yang disumbangkan daripada operasi pembenihan awan (OPA) dijalankan semalam dan hari ini.

Lokasi lain di barat Sarawak juga menunjukkan penurunan positif bacaan IPU dengan Kuching (159), Samarahan (139) dan Sarikei (113).

Penurunan bacaan IPU ini memberi petunjuk positif jerebu di negara ini akan berkurangan menjelang awal minggu depan seperti ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Ini ekoran perubahan tiupan angin barat daya bertukar menuju timur yang mampu mengurangkan kesan jerebu yang melanda negara sejak minggu lalu sehingga lima OPA dilaksanakan setakat ini.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).

Maklumat terkini mengenai bacaan IPU semasa boleh didapati di http://apims.doe.gov.my atau aplikasi MyIPU.

Disiarkan pada: September 21, 2019 @ 5:46pm
d