mutakhir

Tertarik konsep ditampilkan NSTP [METROTV]

Oleh Asrol Awang

HARI kedua pameran hartanah MyRumah anjuran The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) di pusat beli-belah Kuantan City Mall, Kuantan menarik minat pengunjung terutama mereka yang ingin memiliki rumah pertama.

Bukan saja memiliki kediaman sendiri, malah ada yang ingin menambah hartanah sebagai pelaburan pada masa depan.

Bagi Suhaidi Ismail, 54, dari Sungai Soi, kehadirannya ke pameran itu kerana tertarik dengan konsep diperkenalkan penganjur dan berbeza dengan pameran hartanah yang pernah dikunjungi sebelum ini.

“Di MyRumah, ia bukan sekadar pameran, malah penganjur turut memberi penerangan terperinci kepada bakal pembeli sebelum mereka membuat keputusan membeli hartanah seperti rumah atau premis perniagaan.

“Saya yang sudah memiliki dua rumah berasa selesa dan tertarik kerana penganjur turut membawa pakar dalam bidang hartanah untuk menyampaikan penerangan berkaitan pelaburan hartanah,” katanya yang bekerja sebagai pemandu lori.

Sementara itu, Martiza Ali, 29, dari Taman Impianku, berkata, pameran MyRumah mendorongnya untuk memiliki rumah sendiri.

Katanya, dengan usianya yang semakin meningkat, sudah tiba masanya dia memiliki rumah berdasarkan kelayakan dari segi pengurusan kewangan.

“Tips diberikan pakar hartanah membantu untuk menguruskan kewangan dengan lebih bijak, sekali gus mampu memiliki rumah berbanding menyewa rumah,” katanya.

Menurut penceramah hartanah, Azim Sulaiman, pameran itu bukan sekadar menggalakkan orang ramai khususnya golongan muda memiliki kediaman, tetapi mendapat tips pelaburan yang lebih berkesan.

“Saya membawakan topik ‘3 tips melabur hartanah dengan bijak, selamat dan bertanggungjawab’ untuk memastikan bakal pembeli membuat keputusan terbaik sebelum membuat pembelian atau pelaburan,” katanya.

Disiarkan pada: September 21, 2019 @ 5:52pm
d