mutakhir

Pas tahunan dengan akses tanpa had

Oleh Zuhainy Zulkiffli

TAMAN tema tertutup, The Top Penang di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), Georgetown melancarkan pas tahunan dengan akses tanpa had selama 365 hari.

Pas tahunan berkenaan menawarkan harga berpatutan kepada pengunjung bagi merasai pengalaman unik di taman tema berkenaan bermula di tingkat lima hingga 59 bangunan itu.

Pengurus Besarnya, Joel Law berkata, pas tahunan yang dijual sejak Julai lalu itu mendapat sambutan amat menggalakkan.

Beliau berkata, kunjungan orang ramai meningkat sebanyak lima peratus selepas pas berkenaan diperkenalkan.

“The Top mempunyai pelbagai program menarik yang dirangka dan pengunjung boleh mengambil peluang itu dengan pelancaran pas tahunan ini bagi mendapatkan harga istimewa.

“Ia menjadi inisiatif The Top dalam menyokong industri pelancongan negeri ini,” katanya kepada media di Georgetown, hari ini.

Joel ditemui di majlis pelancaran Non-Stop Celebration ‘Experience Penang 2020’ di The Top Penang.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Pelancongan, Seni dan Budaya negeri Yeoh Soon Hin.

Pas tahunan ditawarkan berharga RM180 bagi dewasa manakala kanak-kanak berusia di bawah 12 tahun, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas berharga RM90.

Bagi pakej keluarga terdiri daripada dua dewasa dan dua kanak-kanak pula ditawarkan potongan harga sebanyak 20 peratus iaitu RM432 sementara pakej bagi pasangan pula ialah RM324.

Mengulas lanjut, Joel berkata, antara program bakal dijalankan ialah Halloween Party Terbesar di Pulau Pinang pada 26 Oktober 2019.

Beliau berkata, pada November pula dijangka berlangsung pameran 30-Doraemon Live bersaiz manusia .

“The Top Penang akan menganjurkan Penang Top Glow Fun Run serta sambutan ambang tahun baru 2020 di sini,” katanya.

Disiarkan pada: September 21, 2019 @ 8:38pm
d