mutakhir

Jenazah Dr Md Farid selamat dikebumi [METROTV]

Oleh BERNAMA

JENAZAH Datuk Dr Md Farid Md Rafik yang meninggal dunia awal pagi hari ini, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Wakaf Sheikh Haji Ahmad Kampung Chokoh, Serkat, Pontian, pada 5.30 petang.

Kira-kira 300 orang termasuk masyarakat sekitar Pontian, ahli keluarga dan sanak saudara arwah menghadiri pengebumian itu.

Terdahulu, jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid Jamek Dato Noh Gadut Serkat, Kampung Serkat untuk disolatkan.

Hadir menziarahi jenazah di masjid itu untuk memberi penghormatan terakhir dan menyertai solat jenazah ialah Perdana Menteri merangkap Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad diiringi isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Beliau yang tiba di masjid itu pada 3.40 petang, berada di sana kira-kira sejam, bersama lebih 1,000 ahli masyarakat dan pemimpin setempat.

Turut mengiringi Dr Mahathir ialah Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal, barisan kepimpinan kerajaan negeri dan persekutuan serta Pengerusi Bersatu Johor Mazlan Bujang.

Sebelum itu, jenazahnya melalui proses bedah siasat bermula 12.30 tengah hari hingga 2 petang di Unit Forensik, Hospital Pontian.

Turut berada di hospital itu adalah ahli keluarga terdekat, sanak saudara dan rakan seperjuangan Allahyarham dalam arena politik.

Mereka termasuk Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik; Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh; Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Dr Mohd Hatta Md Ramli; Bekas Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian; Pengerusi AMANAH merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi Johor, Aminolhuda Hassan dan beberapa barisan kepimpinan kerajaan negeri.

Setelah selesai dibedah siasat, jenazah kemudian dimandi dan dikafankan, sebelum dibawa keluar dari hospital itu menggunakan van jenazah hospital dengan diiringi pasukan pengiring Polis Diraja Malaysia, untuk dibawa pulang ke rumah ibunya di Kampung Serkat Laut.

Dr Md Farid, 42, yang juga Ahli Parlimen Tanjung Piai dilaporkan meninggal dunia pada 6 pagi di Hospital Pontian akibat komplikasi jantung.

Arwah meninggalkan seorang balu, Datin Farah Syazwani Hanis Ismail dan tiga anak perempuan.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai memenangi kerusi Parlimen Tanjung Piai pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 selepas menewaskan penyandangnya Datuk Seri Wee Jeck Seng (MCA) dengan memperolehi majoriti 524 undi.

Disiarkan pada: September 21, 2019 @ 10:52pm
d