mutakhir

Salam semua orang

Oleh Ibrahim Isa dan Togi Marzuki

“SELEPAS selesai majlis (Program Bersama Rakyat di Taman Pontian Jaya) malam kelmarin, Datuk Dr Md Farid Md Rafik bersalaman dengan semua yang hadir termasuk kanak-kanak daripada pelbagai kaum,” ujar Daud Sanusi, 62, bapa saudara Ahli Parlimen Tanjung Piai yang meninggal dunia itu.

Menurutnya, arwah turut meminta maaf kepada penduduk kawasan Parlimen Tanjung Piai kerana tidak dapat meneruskan lawatan ke kawasan lain.

“Itu ucapan terakhir arwah kepada penduduk sebelum dia pulang ke kediamannya di Kampung Cokoh, Kukup Pontian,” katanya di pekarangan Unit Forensik Hospital Pontian, semalam.

Daud berkata, majlis itu selesai jam 11.30 malam namun wakil rakyat itu masih bertemu masyarakat sehingga jam 4 pagi, semalam.

“Datuk Farid mengadu pening kepala, sakit dada dan sesak nafas sebelum ke Hospital Pontian bersama pemandunya pada jam 6 pagi. Namun, dia disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian,” katanya.

Adik arwah, Md Nor Hisham Md Rafik, 37, berkata, abang sulungnya itu disenangi ahli keluarga kerana periang dan pemurah.

“Tiada perubahan pelik sebelum ini, cuma dia ada meminta maaf kepada semua dan bersalam dengan penduduk termasuk kanak -kanak,” katanya.

Jenazah Datuk Dr Md Farid selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Wakaf Sheikh Haji Ahmad Kampung Chokoh, Serkat, di sini, jam 5.30 petang semalam.

Jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid Jamek Dato Noh Gadut Serkat, Kampung Serkat untuk disolatkan.

Disiarkan pada: September 22, 2019 @ 7:01am
d