mutakhir

JPN usul wujudkan bank data DNA

Oleh Siti A'isyah Sukaimi

MESYUARAT Jawatankuasa Penambahbaikan Sistem Penyampaian Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memutuskan supaya, JPN mengusul diwujudkan bank data deoxyribonucleic acid (DNA) dan dimasukkan dalam sijil kelahiran supaya dapat mengekang ketirisan.

Perkara berkenaan antara yang diputuskan dalam mesyuarat itu dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Alwi Ibrahim diadakan pada 18 September lalu.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, mesyuarat berkenaan memutuskan beberapa langkah penambahbaikan serta-merta dan strategi memperkemas sistem penyampaian JPN termasuk memperketat prosedur operasi standard (SOP) sedia ada jabatan itu.

Katanya, penambahbaikan lain yang turut diputuskan ialah memberhentikan serta-merta pendaftaran lewat kelahiran di Jabatan Pendaftaran Negeri dan menetapkan hanya boleh dilakukan di Ibu Pejabat JPN untuk semak dan imbang.

"Seterusnya, menambah baik aras keselamatan berperingkat supaya tidak lagi boleh diakses dengan mudah oleh semua pegawai sebaliknya perlu melalui pengesahan daripada pegawai atasan.

"Menukar pegawai JPN secara pusingan untuk mengelakkan satu-satu pegawai berada di posisi sama lebih daripada dua tahun, bagi meminimumkan salah guna kuasa," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, selain itu, menyemak semula semua sijil kelahiran yang belum dituntut untuk dinyahaktifkan daripada pangkalan sistem bagi mengelakkan salah guna.

Mengulas lanjut, Muhyiddin menegaskan, KDN tidak akan melindungi mana-mana pegawai kerajaan yang terbabit dalam kes penjualan MyKad dan memberi kuasa penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat dan mendakwa pengkhianat negara.

"Pada masa sama, KDN juga tidak akan berkompromi dengan penyebaran berita tidak sahih dan palsu yang ditularkan, dan memberi amaran tindakan perundangan akan diambil ke atas penyebar berita dan maklumat palsu sebagai pengajaran kepada pihak lain supaya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan membabitkan berita tidak benar," katanya.

Jumaat lalu, Harian Metro melaporkan, beberapa pegawai dan kakitangan JPN yang disyaki terbabit dalam sindiket penjualan MyKad di Pulau Pinang akan diburu sepanjang Op Biru Fasa Kedua.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dilaporkan mengesahkan perkara itu selepas mengulas fasa kedua operasi dilancarkan Selasa lalu.

Dalam kejadian 12 September lalu, enam lelaki termasuk seorang berpangkat Datuk dan seorang Penolong Pengarah JPN berdepan 32 pertuduhan menjual MyKad sah kepada warga asing.

Fasa pertama Ops Biru berjaya menahan 20 individu susulan pembongkaran seorang warga China yang cuba memohon pasport menggunakan MyKad sah di Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang pada 16 Mei lalu.

Disiarkan pada: September 22, 2019 @ 1:28pm
d