mutakhir

Bekas penasihat Dr Rozmey dipenjara

Oleh Mohd Rizal Abdullah

BEKAS penasihat peribadi dan kewangan kepada usahawan terkenal, Datuk Dr Che Rozmey Che Din dihukum penjara lima tahun dan denda RM90,000 oleh Mahkamah Sesyen Alor Setar, hari ini.

Hakim Azman Abu Hassan memutuskan demikian terhadap tertuduh, Abdullah Sani Ismail, 62, selepas meneliti hujah dan mendapati pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah di akhir perbicaraan.

Tertuduh menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah bernilai RM246,600 yang dilakukan sejak 2014.

Mahkamah menetapkan hukuman penjara lima tahun bagi setiap pertuduhan itu dan membenarkan hukuman berlangsung serentak.

Azman turut membenarkan rayuan tertuduh untuk menangguhkan hukuman penjara sehingga rayuan di Mahkamah Rayuan.

Terdahulu, peguam Badrol Hisham Abdullah mewakili anak guamnya memohon penangguhan itu berikutan tertuduh mengalami masalah kesihatan dan tekanan.

Namun, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Nabilah Md Ruslan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana alasan diberikan bersifat peribadi, selain tertuduh tidak mengambil peluang mengaku bersalah pada awal perbicaraan.

Azman dalam penghakimannya membenarkan permohonan Badrol untuk penangguhan hukuman penjara, namun mengekalkan hukuman denda.

Abdullah Sani didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah yang dilakukan ke atas syarikat Herba Prima Marketing di Lot 70, Bandar Darulaman Jaya, Jitra mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan perbuatan itu dengan mengambil wang sewaan bangunan beralamat No 22, Jalan Bayu Mutiara 1, Taman Bayu Mutiara, Bukit Mertajam, Pulau Pinang milik Che Rozmey sebanyak RM97,000 pada September hingga 5 Disember 2014.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan perbuatan sama membabitkan nilai sewaan sebanyak RM88,000 di lokasi sama antara 20 Mac 2015 hingga 28 Disember 2015, manakala pertuduhan ketiga, tertuduh mengulangi kesalahan serupa membabitkan nilai sewaan RM61,600 di lokasi sama antara 19 Januari 2016 hingga 8 Julai 2016.

Disiarkan pada: September 22, 2019 @ 3:08pm
d