mutakhir

Titik panas di Sumatera, Kalimantan meningkat

Oleh BERNAMA

KEBAKARAN hutan yang berlaku di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia masih menyebabkan jerebu merentas sempadan dan memberi kesan kepada peningkatan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di semua kawasan di semenanjung, Sarawak dan barat Sabah, demikian menurut Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam laporan status kualiti udara dan jerebu, hari ini.

Jelasnya, berdasarkan laporan oleh ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) yang berpusat di Singapura pada semalam, imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) 20, terdapat peningkatan titik panas dikesan di Sumatera iaitu 777 manakala titik panas dikesan di Kalimantan meningkat kepada 363.

“Asap jerebu dari Sumatera memberi kesan kepada hampir keseluruhan semenanjung. Kluster titik panas di bahagian barat, tengah dan selatan Kalimantan berterusan melepaskan asap jerebu dan memberi kesan di negeri Sarawak,” katanya lagi.

Jelas JAS, sembilan titik panas dikesan di dalam negara iaitu tiga di Selangor, dua di Johor, dua di Terengganu dan dua Sarawak. Terdapat titik-titik panas yang tidak dapat dicerap oleh imej satelit disebabkan oleh litupan awan yang tebal dan laluan satelit tidak dicerap sepenuhnya.

“JAS telah meningkatkan tindakan penguatkuasaan dan aktiviti rondaan harian ke kawasan-kawasan yang berpotensi berlakunya aktiviti pembakaran terbuka serta memantau bacaan IPU dari masa ke semasa,” katanya lagi.

Lagi berita berkaitan Ancaman Jerebu

Disiarkan pada: September 22, 2019 @ 3:11pm
d