mutakhir

Kes ketua 'Wolf Pack' ke Mahkamah Tinggi

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

KES ketua kumpulan ‘Wolf Pack’, Mahadi Mamat, 34, yang menjadi dalang utama terhadap rancangan mahu menyerang empat individu berprofil tinggi dan rumah ibadat Ramadan lalu, dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Hakim Mahkamah Sesyen, Jamaluddin Mat membuat keputusan itu di Kuala Terengganu, hari ini selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskandar Ahmad dan Mohd Izhanuddin Alias untuk memindahkan lapan kes yang dihadapi Mahadi.

Muhamad Iskandar ketika dihubungi mengesahkan bahawa permohonan untuk memindahkan kes itu dibuat mengikut Seksyen 177A Kanun Acara Jenayah.

Bagaimanapun, tarikh untuk disebut di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan ditetapkan kemudian.

Tertuduh diwakili peguam Muhammad Rohan Muhamad Razi.

Sebelum ini, tertuduh yang bekerja sebagai buruh binaan dari Kuala Berang berdepan lapan pertuduhan mengikut Seksyen 130 J(1) (B) Kanun Keseksaan (KK) (Akta 574), Seksyen 130F (A) KK (Akta 574), Seksyen 130F (B) KK (Akta 574), Seksyen 130 E KK (Akta 574) dan Seksyen 130JB (1) (A) KK (Akta 574).

Mengikut pertuduhan pertama mengikut Seksyen 130 J(1) (B) Kanun Keseksaan (KK) (Akta 574), tertuduh didakwa mencari sokongan terhadap perbuatan pengganas dengan membuat ancaman serangan di Kuil Sri Maha Mariamman Seafield di Persiaran Kewajipan USJ, Petaling, Selangor melalui kumpulan WhatsApp.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di rumah di Kampung Teris, Hulu Terengganu antara 9.48 malam pada 7 Januari hingga 5.45 petang, 5 Mei lalu.

Selain itu, tertuduh turut berdepan satu lagi pertuduhan sama apabila didakwa mencari sokongan terhadap suatu pengganas dengan membuat ancaman untuk membunuh empat orang warganegara Malaysia melalui kumpulan WhatsApp sama di lokasi, waktu dan tarikh sama.

Tertuduh yang sudah berkahwin turut didakwa mengikut Seksyen 130F (A) KK (Akta 574) dan Seksyen 130F (B) KK (Akta 574) apabila bersetuju memberikan latihan dalam penggunaan senjata api dan memberikan arahan untuk melakukan perbuatan pengganas kepada ahli kumpulan WhatsApp itu di lokasi, waktu dan tarikh sama.

Tertuduh turut berdepan dua lagi pertuduhan mengikut Seksyen 130JD(1) KK (Akta 574) apabila mendapatkan enam butir ‘pipe bom’ untuk melaksanakan perbuatan-perbuatan pengganas di Kampung Teris, Hulu Terengganu pada 6.03 petang, 4 Mei lalu.

Tertuduh turut didakwa mendapatkan pistol semi-automatic CZ 75 B dan 15 butir peluru jenis ‘Luger 9MM’ untuk melaksanakan perbuatan-perbuatan pengganas di Kampung Teris, Hulu Terengganu pada 4.32 petang 5 Mei lalu.

Selain itu, tertuduh turut didakwa mengikut dua lagi pertuduhan mengikut Seksyen 130E KK (Akta 574) kerana merekrut beberapa orang lain untuk menyertai kumpulan WhatsApp ‘Sejati Sejiwa’ dan Seksyen 130JB(1)(A) KK (Akta 574) kerana memiliki barangan berkaitan dengan kumpulan pengganas IS di dalam telefon bimbit di Kampung Teris, Hulu Terengganu, 5.45 petang, 5 Mei lalu.

Sebelum ini, empat lelaki termasuk seorang warga tempatan ditahan kerana disyaki merancang melancarkan serangan terhadap rumah ibadat dan pembunuhan beberapa individu berprofil tinggi di negara ini.

Serangan dipercayai bermotifkan dendam bagi menuntut bela atas kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim dalam kejadian rusuhan di Kuil Sri Maha Mariaman Seafield pada tahun lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador sebelum ini berkata, semua suspek disyaki terbabit dengan kumpulan pengganas IS/Daesh itu ditahan pasukan Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas, Polis Diraja Malaysia (PDRM), dalam empat siri serbuan antara 5 hingga 7 Mei lalu di Terengganu dan Lembah Klang.

Beliau berkata, serbuan dilakukan susulan polis mengesan satu sel ‘wolf pack’ disyaki merancang melancarkan operasi pembunuhan beberapa individu berprofil tinggi dan serangan berskala besar ke atas tempat ibadat Kristian, Hindu dan Buddha serta pusat hiburan di sekitar Lembah Klang.

Disiarkan pada: September 22, 2019 @ 5:24pm
d