mutakhir

Dua lelaki Malaysia ditahan di Australia

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

DUA lelaki rakyat Malaysia membabitkan seorang warga emas dan seorang pemegang visa pelajar ditahan Pasukan Sempadan Australia (ABF) kerana menyeludup lebih 1.2 tan ephedrine bernilai RM2.1 bilion ke negara itu.

Mereka ditahan pada 16 September lalu selepas dikesan memunggah kotak berisi ephedrine iaitu sebatian yang digunakan bagi menghasilkan syabu atau methaphetamine dalam kontena yang dialamatkan ke gudang di Roselands, selatan Sydney.

ABF dalam kenyataannya berkata, kontena yang diikrar berisi perabot itu pada awalnya tiba di kemudahan pemeriksaan di Sydney sejak 10 September.

Katanya, imbasan sinar-X kemudian mengesan kewujudan bahan terlarang dalam kontena terbabit yang disembunyi bersama perabot.

“Pemeriksaan dijalankan ABF kemudian menemui 127 kotak bahan berwarna perang seberat 1,266 kilogram.

“Ujian kimia dijalankan kemudian mendapati bahawa bahan berkenaan adalah ephedrine,” katanya.

Menurut ABF, kontena itu kemudian dihantar ke gudang di Roselands mengikut alamat penerima pada 16 September sebelum pihak berkuasa negara terbabit mengesan kelibat dua lelaki yang memunggah barang berkenaan.

Katanya, kedua-dua suspek kini direman bagi menghadapi tuduhan kerana mengimport bahan terlarang yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 25 tahun atau denda 1.05 juta dolar Australia (RM2.9 juta) atau kedua-duanya sekali.

“Rampasan itu sekaligus berjaya mematahkan penghasilan syabu bagi kegunaan 10 juta pengambilan di negara ini,” katanya.

Disiarkan pada: September 22, 2019 @ 5:38pm
d