mutakhir

Sambutan hangat hari terakhir MyRumah

Oleh Asrol Awang

HARI terakhir pameran hartanah MyRumah anjuran Kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) menarik minat ramai pengunjung untuk mendapatkan maklumat berkaitan hartanah yang dipamerkan di ruang legar Kuantan City Mall, Kuantan, hari ini.

Pemaju perumahan yang menyertai pameran itu juga gembira dengan maklum balas yang diterima daripada pengunjung yang ingin mengetahui projek perumahan dan premis perniagaan.

Bukan saja harga yang ditawarkan pemaju perumahan, malah pengunjung juga mahu mendapatkan maklumat mengenai kelayakan mereka untuk memiliki hartanah terutama kediaman sendiri.

Pembantu tadbir Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Tengku Azzah Jazmina Tengku Ahmad Noor, berkata, pihaknya gembira dengan maklum balas pengunjung yang berminat untuk memiliki rumah di Terengganu.

Katanya, sambutan bertambah hangat pada hari terakhir kerana PMINT menawarkan lima projek perumahan di Kemaman, Dungun, Kuala Nerus, Marang dan Kuala Terengganu.

“Harga yang ditawarkan dari RM180,960 hingga RM399,000 termasuk rumah teres dua tingkat dan rumah kedai,” katanya.

Sementara itu, Penolong Naib Presiden Uda Land (East) Sdn Bhd, Ellie Syahirah Liyana Mohamed Said berkata, hartanah mewah yang terletak berhampiran pantai Teluk Cempedak, mendapat maklum balas positif pengunjung.

“Ada pengunjung yang berminat untuk menjadikan rumah mewah itu sebagai kediaman impian berdasarkan reka bentuknya,” katanya.

Pameran yang dianjurkan kumpulan NSTP dengan disokong Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat lalu.

MyRumah 2019 yang julung kali diadakan di negeri ini sejak 2016 menawarkan 1,437 unit perumahan dan komersial dengan nilai pembangunan kasar lebih RM323.6 juta.

Enam pemaju dari Jabatan Perumahan Negara, Konsortium Perumahan Rakyat Terengganu Sdn Bhd, O&C Properties (Kuantan) Sdn Bhd, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) dan UDA Land (East) Sdn Bhd mengambil bahagian.

Selain itu, Amanah Raya Berhad, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Takaful IKHLAS turut menyertai pameran berkenaan.

Disiarkan pada: September 22, 2019 @ 6:17pm
d