mutakhir

Peningkatan 40 peratus penyakit bawaan jerebu

Oleh BERNAMA

JUMLAH pesakit yang mendapatkan rawatan akibat konjunktivitis, asma dan ruam di kulit meningkat kepada 40 peratus susulan jerebu yang berpanjangan pada masa ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, peningkatan dalam penyakit bawaan jerebu itu dicatatkan di seluruh negara.

“Peningkatan dalam jumlah kes berkenaan berbeza-beza di stesen yang berbeza. Stesen yang mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang lebih tinggi menyaksikan jumlah kes yang lebih banyak bagi jangkitan pernafasan, mata merah (konjunktivitis), dan ruam kulit,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan sijil penghargaan kepada pencapaian cemerlang Jabatan Kesihatan Labuan, hari ini.

Dr Noor Hisham menasihati orang ramai agar duduk di rumah dan kurangkan aktiviti fizikal di luar semasa jerebu ini.

“Gunalah topeng mulut dan hidung jika berada di luar dan kerap basuh muka serta bahagian tubuh lain yang terdedah kepada jerebu,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan, Dr Ismuni Bohari menyatakan bahawa Labuan mencatatkan kurang lima peratus bagi penyakit akibat jerebu, yang dianggap tidak begitu serius.

“Setakat ini IPU di Labuan kekal pada tahap sederhana dengan bacaan antara 70 and 80,” katanya.

Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

  • Lagi berita berkaitan Ancaman Jerebu
  • Disiarkan pada: September 22, 2019 @ 9:10pm
    d