mutakhir

Penumpang kereta ketum maut kemalangan

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

PROTON Waja yang membawa muatan daun ketum terbabit kemalangan dengan sebuah lori muatan ikan menyebabkan remaja maut dan rakannya cedera di Simpang 4 Yap Boon Yang, Tanah Merah hari ini.

Dalam kejadian 5.50 pagi itu, mangsa yang meninggal dunia adalah penumpang kereta berusia 16 tahun manakala pemandu berusia 33 tahun patah kaki kanan.

Pemandu lori berusia 37 tahun dan kelindan 21 tahun tidak mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Suzaimi Mohamad berkata, kejadian berlaku apabila lori jenis Isuzu dari arah Jalan Padang Siam menghala ke Jalan Wan Ahmad di sini.

Katanya, apabila sampai di tempat kejadian iaitu Simpang 4 Yap Boon Yam, Proton Waja yang membawa muatan penuh daun ketum keluar dari simpang sebelah kanan lalu berlaku perlanggaran di antara lori dengan kereta.

“Kereta terbabit melanggar rusuk kanan lori menyebabkan lori terbalik ke kiri jalan.

“Akibat perlanggaran itu, penumpang kereta meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mangsa yang berasal dari Kampung Kubur Datu, Jeli dihantar ke Hospital Tanah Merah untuk bedah siasat dan rakannya turut dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, daun ketum itu dirampas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Tanah Merah.

Katanya, kenderaan pula ditahan untuk pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) (A) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Disiarkan pada: September 23, 2019 @ 1:24pm
d