mutakhir

[UPDATE] Mati sakit jantung akibat terkejut

Oleh Muhammad Apendy Issahak

KES kematian suri rumah, M Abiramy, 44, yang maut selepas kediamannya dipercayai diserang sekumpulan lelaki di Jalan New Delhi, Buntong, Ipoh semalam diklasifikasikan sebagai mendatangkan kematian secara cuai atau membunuh tanpa niat.

Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mohd Nordin Abdullah berkata, siasatan pihaknya juga mendapati kes itu membabitkan perbuatan khianat dengan api hingga mengakibatkan kebakaran sebuah rumah dan kereta.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kes serangan itu membabitkan sekumpulan lelaki dipercayai mempunyai perselisihan faham dengan seorang anak lelaki wanita terbabit sebelum kejadian.

“Pada 5 petang semalam, anak lelaki mangsa dipercayai bergaduh dengan seorang lelaki di sebuah kuil Jalan Spooner di sini dan punca pergaduhan adalah kerana salah faham anak mangsa dikatakan menyembunyikan lembu lelaki berkenaan.

“Pada 8 malam, lelaki itu dipercayai membawa sekumpulan lelaki ke rumah mangsa dan ketika itu mangsa sudah keluar rumah mahu pergi ke kuil namun berpatah balik ke rumah apabila melihat lapan lelaki di luar rumahnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Nordin berkata, seorang daripada suspek mengetuk pintu pagar di mana mangsa berdiri dan menyebabkan mangsa terkejut lalu pengsan sebelum dihantar ke hospital dan disahkan meninggal dunia oleh doktor selepas 15 minit dirawat.

“Pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak hadir di tempat kejadian dan perlu menunggu pemeriksaan Forensik Bomba untuk menjalankan siasatan bersama di lokasi hari ini.

“Setakat ini kes disiasat mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kematian secara cuai atau membunuh tanpa niat selain turut disiasat sebagai kes khianat dengan api dan polis sedang mengesan suspek kes ini,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Kebakaran, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Norazlina Robak’aee ketika ditemui di lokasi berkata, kebakaran mengakibatkan rumah teres setingkat itu musnah 90 peratus selain memusnahkan kereta Honda Accord, motosikal Yamaha LC135, Yamaha Nouvo dan Honda C70.

“Bomba terima maklumat pada 8.38 malam dan ketika kebakaran tiada mangsa di rumah sebelum operasi pemadaman dilakukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh yang selesai pada 10.24 malam.

“Siasatan masih dijalankan bomba bagi mengenalpasti punca kebakaran dan kami akan menggunakan khidmat anjing pengesan (K9) bomba.

“Setiap sampel yang diambil akan dihantar ke makmal untuk mendapatkan keputusan mengenai punca kebakaran sama ada perbuatan khianat atau sebagainya,” katanya.

Berita berkaitan

Ajal akibat terkejut

Disiarkan pada: September 23, 2019 @ 1:54pm
d