mutakhir

Denda RM8,000, air mineral ada nitrit

Oleh Nor Azura Abdul Jalil

SEBUAH syarikat pengimport air mineral jenama Fiji didenda RM8,000 atau dikenakan waran melevi oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan mengedar air mineral yang mengandungi nitrit iaitu bahan bukan organik, April lalu.

Majistret Mohamad Aizat Abdul Rahim menjatuhi hukuman itu selepas wakil syarikat, Pengurus Kewangan Albert Wines & Spirits (M) Sdn Bhd, Mum Yew Leong, 38, selaku orang kena saman (OKS) mengaku salah sebaik saja pertuduhan dibacakan kepadanya.

Waran melevi bermaksud mahkamah boleh menyita harta syarikat yang didakwa mengikut jumlah denda yang dikenakan.

Mahkamah juga memerintahkan OKS membayar kos pendakwaan RM300 dan sabitan disiarkan di akhbar mengikut Seksyen 12 Akta Makanan 1983.

Mengikut pertuduhan, syarikat itu didakwa menyerahkan Natural Artesian Water (Fiji) kepada Pegawai Diberi Kuasa Akta Makanan 1983, Norazlina Ayub yang mana selepas dianalisa, sampel air itu mengandungi Nitrit (NO2) dalam kadar 0.02 mg/ l lebih tinggi daripada kadar yang dibenarkan iaitu 0.005 mg/l.

Bagi kesalahan itu, OKS didakwa mengikut Seksyen 13B(1) dibaca bersama bersama 13B (2)(e) Akta Makanan 1983 dan boleh dihukum bawah seksyen 13(4) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa dari Jabatan Kesihatan Selangor, Jeffry Sani Sahimi manakala OKS tidak diwakili peguam.

Terdahulu, OKS merayu mahkamah memberikan hukuman yang ringan atas alasan tindakan sudah diambil untuk memanggil semula produk berkenaan serta dibuat penambahbaikan.

“Pihak kami akan lebih berhati-hati di masa hadapan,” katanya.

Jeffry bagaimanapun memohon mahkamah memberikan hukuman berbentuk pengajaran ke atas OKS supaya tidak mengulangi lagi kesalahan di masa akan datang.

“Pengambilan nitrit dalam secara berterusan atau dalam jangka masa panjang akan terkumpul di dalam tubuh manusia dan mendedahkan pengguna kepada risiko kanser dalam tempoh tertentu lazimnya kurang dari 10 tahun,” katanya.

Disiarkan pada: September 23, 2019 @ 2:27pm
d