mutakhir

Jho Low rapat dengan Najib - Saksi

Oleh Nasharuddin Muhammad dan Murni Wan Omar

BEKAS Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, bahawa, ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho rapat dan mempunyai akses terus dengan Datuk Seri Najib Razak.

Shahrol Azral, 49, berkata demikian ketika memberi keterangan dalam prosiding bicara kes skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan bekas Perdana Menteri itu.

“Ketika itu Najib adalah Timbalan Perdana Menteri dan merangkap Menteri Kewangan Malaysia. Ini adalah berdasarkan faktor berikut iaitu setiap tindakan Jho Low dalam menggariskan sebarang arahan Najib akan dipersetujui dan diluluskan oleh Najib sendiri.

“Malahan saya yakin bahawa Najib menurunkan mandat kepada beliau untuk merancang dan mengatur operasi Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA)/1MDB dari belakang melalui dokumen nota dan pelan tindakan,” katanya.

Saksi berkata, beliau melihat sendiri Jho Low sebagai fasilitator (pemudahcara) antara Yang di-Pertuan Agong ke-13, (ketika itu) Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Najib yang mewakili kerajaan pusat.

“Jho Low memang orang penting Najib dan menjaga kepentingan Najib dari awal lagi. Saya nampak beliau ada perhubungan secara langsung dengan Najib.

“Sebagai contoh ketika mesyuarat TIA, Jho Low boleh terus menghubungi Najib melalui telefon bagi meminta pandangan dan panduan. Jho Low juga mempunyai akses untuk bertemu Najib di rumah sama ada di Jalan Langgak Duta atau Sri Satria, Putrajaya. Sebagai contoh pada Mac 2009 Jho Low ada minta saya berjumpa Ketua Pegawai Eksekutif Mubadala Petroleum di kediaman Najib dan ketika itu saya nampak beliau (Jho Low) ada akses terus kepada Najib,” katanya.

Terdahulu, Shahrol Azral, beliau mengenali Jho Low ketika lelaki itu menjadi salah seorang pelanggan di tempat beliau bekerja di sebuah syarikat konsultan di Kuala Lumpur sekitar tahun 2007.

“Pada sekitar penghujung 2008, Jho Low ada menghubungi saya dan menyatakan beliau sedang menguruskan dana membabitkan badan kerajaan. Pada pertengahan Mac 2009 Jho Low menghubungi saya dan bertanya sama ada saya mahu menyertai TIA yang ketika itu sebuah tabung kekayaan berdaulat (sovereign wealth fund).

“Ia ditubuhkan bagi memberi pembangunan ekonomi kepada kerajaan negeri Terengganu bagi jangka masa panjang. Pada 21 Mac 2009, Jho Low menghubungi saya dan minta ke Istana Terengganu yang terletak di Jalan Kia Peng,” katanya.

Shahrol Azral berkata, ketika itu, beliau baru mengetahui bahawa Jho Low mencadangkan namanya kepada Sultan Mizan Zainal Abdidin yang ketika itu Pengerusi TIA untuk dilantik sebagai salah seorang pengarah.

“Selepas mengadap Baginda, saya dimaklumkan bahawa ia sudah diperkenankan dan saya dilantik sebagai pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif TIA. Saya dilantik secara rasmi pada 23 Mac 3009.

“Saya menyertai TIA lewat sedikit daripada penubuhan awal. Selepas menyertai TIA, saya membuat beberapa kajian sendiri untuk mengenali syarikat itu dan mendapati TIA ditubuhkan pada 27 Februari 2009 dengan modal permulaan sebanyak RM2,” katanya.

Menurutnya, idea penubuhan TIA itu dimulakan oleh Sultan Mizan Zainal Abidin bersama dengan penasihat iaitu Jho Low.

“Ia adalah lanjutan daripada lawatan yang dibuat ke syarikat Mubadala di Abu Dhabi. Selepas itulah terbitnya idea Sultan Mizan Zainal Abidin untuk mewujudkan tabung kekayaan berdaulat seperti dimiliki Abu Dhabi.

“Fakta ini hanya diketahui oleh saya melalui perbualan dengan Jho Low pada awal penyertaan saya di dalam TIA,” katanya ketika membaca pernyataan saksi.

Shahrol Azral berkata selepas pelantikanya, beliau dimaklumkan oleh Jho Low dan Pengarah Eksekutif TIA, Casey Tang bahawa terdapat cadangan untuk Kerajaan Persekutuan mengeluarkan Jaminan Kerajaan bagi menambah dana dalam TIA dan kerajaan Terengganu pula akan menyuntik dana sebanyak RM6 bilion melalui wang ehsan/royalti minyak.

Disiarkan pada: September 23, 2019 @ 3:50pm
d