mutakhir

Penyokong Perak maut kemalangan

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

PENYOKONG bola sepak Perak maut selepas kenderaan dipandunya terbabas di Simpang Tiga, Selinsing berhampiran sebuah stesen minyak di Bagan Serai hari ini.

Dalam kejadian 7.15 pagi itu, Amirul Hakimi Abd Latif, 21, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah selepas tersepit di tempat pemandu.

Difahamkan, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Tebuk Matau di sini selepas memberi sokongan kepada pasukan Perak yang menentang Selangor dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Ipoh malam tadi.

Mangsa dikatakan berada di Ipoh selepas tamat perlawanan berkenaan dan hanya bergerak balik ke sini pagi tadi.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Serai, Penolong Bomba Kanan II Harmi Abd Rahman berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 7.17 pagi dan bergegas ke lokasi.

Menurutnya, didapati Perodua Alza terbabas dan pemandu tersepit serta disahkan meninggal dunia.

“Bomba mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas dan menyerahkan mayat mangsa kepada polis,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian dan berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat.

Disiarkan pada: September 23, 2019 @ 5:17pm
d