mutakhir

Angkut PATI ibu negara

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

SERAMAI 108 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam Operasi Bersepadu Khas Cegah Jenayah di beberapa lokasi sekitar ibu negara, kelmarin.

Operasi bermula 9 pagi hingga 7 malam itu disertai 199 pegawai dan anggota polis Kuala Lumpur, dibantu penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, operasi berlangsung di Pasar Borong Kuala Lumpur, Masjid Jamek, Jalan Alor Bukit Bintang, Plaza Idaman Setapak dan beberapa lokasi lain sekitar pusat bandar.

“Pemeriksaan ke atas 380 warga asing, namun 108 PATI ditahan dengan 18 individu adalah warganegara Afrika.

“Selain itu, 29 orang Myanmar, Bangladesh (24); Indonesia (17); India (8); Nigeria (6); Thailand (5); Somalia (5); Nepal (4); Tanzania (3); Afrika Selatan (2); Pakistan (2); dan masing-masing seorang dari China, Ivory Coast serta Algeria,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mazlan berkata, semua yang ditahan dibawa ke Lokap Berpusat Jinjang untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresn 1959/63 kerana tinggal di negara ini tanpa permit sah.

“Kami memandang serius isu kebanjiran warga asing terutama membabitkan warga Afrika yang banyak menyumbang kejadian jenayah di negara ini.

“Operasi seumpama ini akan dilakukan secara konsisten bagi membanteras permasalahan itu sekali gus mengurangkan kadar jenayah didalangi warga asing,” katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kebanjiran warga asing di ibu negara supaya menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21469999 atau tampil di balai polis berhampiran.

Disiarkan pada: September 23, 2019 @ 5:27pm
d