mutakhir

Akta khas untuk lindungi hak warga emas

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

KERAJAAN sedang melakukan kajian untuk mewujudkan akta khas bagi melindungi hak warga emas di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, keperluan dari segi perundangan itu penting dalam usaha kerajaan melindungi hak warga emas terutama membabitkan isu pengabaian dan penderaan.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, berdasarkan kajian Universiti Malaya (UM), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bersetuju dengan keperluan perundangan itu memandangkan kes pengabaian dan penderaan warga emas didapati semakin meningkat dan terdapat kemungkinan banyak lagi kes tidak dilaporkan.

“Untuk itu, satu kajian kandungan, pendekatan dan skop bagi mewujudkan satu akta khusus untuk warga emas di Malaysia akan dilaksanakan dan UM dilantik sebagai perunding untuk melaksanakan kajian itu dalam tempoh 15 bulan.

“Hasil utama kajian itu adalah satu rang undang-undang warga emas yang dicadang untuk dibentangkan di Parlimen pada awal 2021.

“Selain itu, kajian diagnostik mengenai pembentukan model penjagaan jangka panjang warga emas yang mampan dan bersepadu di Malaysia juga sedang dijalankan dan

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dilantik sebagai perunding,” katanya selepas merasmikan Kompleks Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing) di Universiti Putra Malaysia (UPM), hari ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Junaidah Kamaruddin ; Pengerusi Lembaga Pengarah UPM Tan Sri Dr Ghauth Jasmon dan Naib Canselor UPM, Prof Datuk Dr Aini Ideris.

Dr Wan Azizah berkata, 139,000 warga emas di negara ini menerima bantuan kerajaan menerusi skim Bantuan Orang Tua (BOT) tahun lalu.

Beliau berkata, jumlah itu meningkat berbanding 135,000 penerima pada 2017 dan 133,000 tahun sebelumnya.

“Hampir 30 peratus daripada keseluruhan jumlah peruntukan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) adalah untuk BOT dan ia menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap warga emas.

“Selain itu bantuan berjumlah RM350 sebulan itu adalah antara komitmen kerajaan dalam menyediakan perkhidmatan kebajikan bagi memastikan kesejahteraan warga emas yang menyeluruh,” katanya.

Sementara itu, Aini berkata, MyAgeing dulunya dikenali sebagai Institut Gerontologi sebelum dinaiktaraf kepada Institut Penyelidikan Penuaan Kebangsaan pada 2015.

Menurutnya, sejak ditubuhkan institut itu menjalankan pelbagai bentuk kajian untuk membina pangkalan data asas mengenai warga emas di Malaysia.

“MyAgeing sedang bekerjasama dengan Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia dalam membangunkan Bahan Pembelajaran Bertulis (WIM) mengikut Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) sebagai pengisian kepada infrastruktur sedia ada di kompleks berkenaan.

“Menerusi penawaran latihan berasaskan WIM, MyAgeing bakal menjadi Pusat Latihan Penjagaan Warga Emas Bertauliah yang pertama di Malaysia menjelang akhir 2020,” katanya.

Disiarkan pada: September 23, 2019 @ 5:41pm
d