mutakhir

Tiada pun rekod jenazah tu...

Oleh Mohd Sabran Md Sani

TIADA rekod membabitkan jenazah seorang lelaki yang dipindahkan dari Hospital Specialist Al Noor, Makkah ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru seperti ditularkan menerusi media sosial hari ini.

Sumber Bahagian Komunikasi Korporat HSA berkata, setakat ini tidak ada jenazah lelaki didakwa tidak dituntut di hospital itu.

“Buat masa ini. HSA Johor Bahru tidak mempunyai kes mayat (jenazah) tidak dituntut seperti ditularkan itu.

“Rekod juga menunjukkan tiada jenazah lelaki itu di sini,” katanya ketika dihubungi berhubung kes tular membabitkan jenazah lelaki berkenaan.

Terdahulu tular menerusi aplikasi WhatsApp yang memohon bantuan orang ramai untuk mengesan waris seorang lelaki yang meninggal dunia di Makkah dan kini sudah berada di HSA.

Mesej berkenaan meminta orang ramai berkongsi maklumat berkenaan hingga warisnya dijumpai dan dapat menuntut jenazah terbabit.

Turut disertakan gambar seorang lelaki yang didakwa dirawat di sebuah hospital.

Bagaimanapun, catatan berkenan dipercayai dikongsi warga Indonesia berdasarkan gaya bahasa digunakan.

Disiarkan pada: September 23, 2019 @ 5:55pm
d