mutakhir

Wan Saiful layak jadi Timbalan Menteri

Oleh Hairulazim Mahmud

PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad perlu melantik segera pengganti Timbalan Menteri Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial dengan memilih seorang tokoh muda berwibawa, kata penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Kamarul Zaman Yusoff.

Beliau berkata, pelantikan itu sangat penting kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) memandangkan negara sekarang sedang menghadapi pelbagai masalah yang serius dalam soal perpaduan rakyat dan keharmonian negara, sama ada antara kaum mahupun sesama kaum khususnya Melayu.

“Tokoh paling sesuai untuk mengisi jawatan ini ialah Wan Saiful Wan Jan, yang kini Pengerusi PTPTN (Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) yang berpengalaman luas dalam badan pemikir ternama iaitu Institut bagi Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS).

“Pasti beliau mempunyai idea baru yang boleh membantu kementerian itu,” katanya kepada Harian Metro hari ini.

Beliau mengulas mengenai kekosongan jawatan itu berikutan kematian penyandangnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik yang juga Ahli Parlimen Tanjung Piai akibat serangan jantung kelmarin.

Allahyarham yang juga Naib Ketua BERSATU Bahagian Tanjung Piai memenangi kerusi Parlimen Tanjung Piai pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tahun lalu selepas menewaskan penyandangnya, Datuk Seri Wee Jeck Seng dengan memperoleh 21,255 undi.

Kamarul Zaman berkata, pelantikan itu amat penting kerana Menteri Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial P Waytha Moorthy dikecam teruk berikutan gagal menjalankan tugas dengan baik, tidak menonjol dengan apa-apa idea baru serta dilihat agak terikat dengan agenda pembelaan kaum India saja.

“Bagi mengimbangi imej agak negatif dan prestasi kurang memberangsangkan Waytha ini, maka sangatlah sesuai jika seorang tokoh muda yang berpendidikan tinggi, berpandangan jauh dan diterima semua golongan dilantik menjadi Timbalan Menteri,” katanya.

Katanya, calon lain yang sesuai adalah Pegawai Khas Menteri Dalam Negeri iaitu Datuk Dr Marzuki Mohamad.

“Beliau bekas ahli akademik yang berpandangan luas dan dihormati oleh pelbagai pihak yang berasal dari Kelantan, sebuah lagi negeri yang perlu diberi perhatian oleh BERSATU, di mana gandingan beliau dan Dr Mohd Radzi Md Jidin selaku Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi pastilah akan memberi ruang untuk BERSATU bangkit di negeri itu,” katanya.

Seorang lagi tokoh muda, katanya, yang berpotensi ditonjolkan ialah Exco ARMADA Pusat Muzzammil Ismail yang juga Pengerusi Kelab Bunga Raya Malaysia.

“Beliau baru saja menyiapkan tesis ijazah kedoktoran dalam bidang geografi manusia di Durham University, United Kingdom,” katanya.

Disiarkan pada: September 23, 2019 @ 6:00pm
d