mutakhir

Bombardier bantu hapus tompok panas

Oleh Muhd Amirul Faiz Ahmad

DUA Pesawat Bombardier CL-415 yang digunakan untuk memadam kebakaran tanah gambut dan hutan di Sri Aman, Sarawak membantu menghapuskan tompok panas di negeri itu.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, sehingga 4 petang hari ini, tiada lagi tompok panas direkodkan di negeri itu sekali gus menunjukkan keberkesanan operasi pengeboman air.

Katanya, manakala di Kalimantan dan Sumatera, Indonesia masih merekodkan 749 tompok panas.

Pesawat Bombardier buatan Kanada adalah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang berkemampuan mengaut air di laut atau sungai bagi operasi pemadaman menerusi pengeboman air dari udara.

“Kedatangan kita bagi membantu memadamkan api atas permintaan bomba (Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia) kerana mereka mengalami kesukaran masuk ke kawasan lokasi, selain sumber air yang jauh.

“Ini adalah operasi fasa kedua kerana fasa pertama pada 15 hingga 22 Ogos lalu, kita menggerakkan pesawat sama ke Miri bagi memadam kebakaran.

“Kos bagi fasa pertama sepanjang lapan hari itu berjumlah RM1.6 juta yang membabitkan 36 jam penerbangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bagi melaporkan perkembangan terkini operasi pemadaman api di kawasan Sri Aman di Dewan Satria, Cabang Pergerakan Udara, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Kuching, hari ini.

Mohd Zubil berkata, pesawat Bombardier pertama kali beroperasi di Sri Aman dan mengaut air dari Sungai Batang Lupar, Sri Aman dalam tempoh 12 saat sebelum terbang semula ke kawasan kejadian bagi pengeboman air.

Katanya, sehingga hari ini pesawat menggugurkan 200,010 liter air dengan kejayaan keberkesanan memadamkan api 80 peratus.

“Dalam operasi hari kedua (hari ini) ia tertumpu di kawasan sektor tiga seluas 31 kilometer dan menggugurkan 1,800 liter air,” katanya

Mengenai Indonesia yang mempunyai tompok panas lebih banyak, beliau berkata, kerajaan negara itu tidak meminta bantuan untuk pemadaman meskipun mengetahui Malaysia negara tunggal di rantau ini yang ada pesawat Bombardier.

Katanya, negara itu pernah meminta bantu ketika memadam kebakaran hutan di Palembang, Sumatera pada 2015.

  • Lagi berita berkaitan Ancaman Jerebu
  • Disiarkan pada: September 23, 2019 @ 6:16pm
    d