mutakhir

'Jho Low boleh pengaruhi keputusan eksekutif'

Oleh Nasharuddin Muhammad dan Murni Wan Omar

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpurdiberitahu bahawa surat rasmi berhubung pelantikan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low sebagai penasihat Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) hanya formaliti, sebaliknya lelaki itu sudah menjalankan ‘tugas’ itu lebih awal lagi.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan TIA, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata, sebelum beliau dilantik, Jho Low sudah memainkan peranan sebagai penasihat TIA.

“Bagaimanapun beliau (Jho Low) tidak pernah menyatakan kepada saya siapa yang melantik beliau sehingga pada 8 April 2009 terdapat resolusi formal dikeluarkan oleh TIA untuk melantiknya. Jho Low sendiri menyatakan kepada saya bahawa perlunya ada hitam putih daripada TIA untuk memastikan beliau telus.

“Namun begitu sebelum lantikan rasmi itu dibuat lagi, semua tindakan dan peranan beliau (Jho Low) adalah konsisten sebagai penasihat TIA bagi kedua-dua pihak iaitu Kerajaan Negeri Terengganu dan Kerajaan Persekutuan. Ini bermakna surat lantikan itu hanya formaliti sahaja kerana peranan beliau dilaksanakan dari awal lagi sebelum saya menyertai TIA,” katanya.

Saksi kesembilan itu berkata, beliau melihat sendiri Jho Low dari awal bertindak sebagai penasihat dalam menjaga kepentingan Negeri Terengganu dan Kerajaan Persekutuan terutamanya dari sudut pelaburan dan pengumpulan dana.

“Beliau (Jho Low) tidak mempunyai kuasa formal dalam tadbir urus, namun beliau boleh mempengaruhi keputusan di peringkat eksekutif kerana beliau mewakili kedua-dua pihak atasan.

“Di peringkat TIA, saya nampak beliau memang ada memainkan peranan yang besar sebagai penasihat. Manakala ketika pengoperasian 1MDB, beliau (Jho Low) ada beberapa kali menyampaikan kehendak Najib tetapi disebabkan ia keputusan besar, saya merujuk semula kepada Najib. Bagaimanapun, ia memang konsisten melalui minit dan juga lisan,” katanya.

Sementara itu, Shahrol Azral berkata, beliau mempercepatkan terbitan bon ‘Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN)’ selepas Jho Low bercadang untuk membangunkan projek di Pulau Bidong, Terengganu secara kerjasama dengan Mubadala Real Estate.

Beliau yang dirujuk surat TIA bertarikh 27 Mac 2009 kepada Najib oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata, surat itu menyatakan kertas kerja bagi menerbitkan sebanyak RM5 bilion IMTN melalui Jaminan Kerajaan.

“Dalam surat ini menyatakan tujuan atau latar belakang TIA serta hasrat mempunyai tabung sebanyak RM11 bilion. Dana ini datangnya dari terbitan bon yang dijamin Kerajaan Persekutuan dan juga royalti minyak.

“Berkenaan hal ini, Jho Low juga ada memberitahu saya bahawa Mubadala sudah menyatakan minat mereka untuk melabur ke dalam sebuah hotel mewah di Pulau Bidong. Oleh sebab itu, TIA perlu menerbitkan bon dengan segera,” katanya.

Ketika dirujuk kepada resolusi bertarikh 7 April 2009, Shahrol Azral berkata, ia adalah surat peletakan jawatan Tan Sri Mohd Bakke Saleh sebagai pengerusi TIA yang beliau tandatangan.

“Saya tidak ingat apa alasan beliau meletakkan jawatan. Bermula daripada itu, proses IMTN sedang dibincangkan dengan pihak perunding luar, Jho Low sentiasa berperanan aktif dalam perbincangan dan pembentangan oleh perunding.

“Ini menimbulkan persoalan oleh perunding terhadap peranan beliau (Jho Low). Saya merasakan teguran ini berasas dan memaklumkan kepada Jho Low. Beliau kemudian mendapatkan pandangan Sultan Mizan Zainal Abidin,” katanya.

Berikutan itu, katanya, nama Jho Low dan Datuk Abdul Aziz Mohd Akhir untuk menjadi penasihat secara lantikan rasmi.

Disiarkan pada: September 23, 2019 @ 8:16pm
d