mutakhir

Terus bantu elak gelandangan tersisih

Oleh Mohamad Hussin

YAYASAN Wilayah Persekutuan (YWP) akan terus membantu mereka yang memerlukan bantuan kerana tidak mahu gelandangan ditempatkan di Pusat Transit Gelandangan, Kuala Lumpur, tersisih daripada masyarakat.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, pusat berkenaan berjaya membantu lebih 2,643 penghuni hingga ke hari ini yang mendapat pelbagai manfaat sejak ia ditubuhkan.

Beliau yang juga Pengerusi YWP berkata, ia adalah pusat khidmat bantuan sosial bagi membantu golongan susah, mengembara dari tempat ke tempat tanpa rumah atau tanpa pekerjaan atau pendapatan tetap.

“Penekanan dalam aspek kaunseling, bimbingan dan motivasi dilaksanakan kepada penghuni pusat ini bagi meningkatkan daya tahan dan daya juang supaya dapat memangkin perubahan sikap serta tingkah laku positif.

“Ia banyak memberi kemudahan seperti ruang penginapan mampu menampung 200 lelaki termasuk dobi, bilik kaunseling, bilik kesihatan, bilik orang kurang upaya (OKU) dan peti simpanan barang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Pusat Transit Gelandangan, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Zaizalnizam Zainun dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kebajikan Negara (YKN), Datin Paduka Che Asmah Ibrahim.

Khalid berkata, sumber kewangan YWP itu datang daripada pendapatan pengurusan tapak paparan iklan membabitkan kerjasama YWP dengan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan syarikat operator iklan.

Beliau berkata, tiga unit paparan iklan LED diluluskan pengurusannya kepada YWP dan sumber pendapatan itu diberikan semula kepada Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur melalui YKN dan Pengerusinya adalah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Saya selaku Pengerusi YWP berharap supaya pengurusan tapak paparan iklan boleh diteruskan bagi memastikan kelangsungan operasi pusat amat diperlukan mereka dalam kesusahan.

“Pusat ini memberi peluang setiap penghuni menginap di situ sehingga tiga bulan agar mereka mempunyai masa cukup untuk berdikari.

“Pusat ini menampung kos operasi harian seperti pentadbiran, utiliti, kursus kemahiran, kaunseling, kebersihan serta makan minum harian penghuni,” katanya.

Beliau berkata, YWP adalah syarikat amanah ditubuhkan untuk membuat kebajikan kepada warga Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Menurutnya, pelbagai perniagaan perlu dijalankan bagi menampung komitmen kebajikan itu termasuk hal ehwal pembangunan pendidikan, ekonomi, sosial, agama dan teknologi.

Disiarkan pada: September 23, 2019 @ 11:35pm
d