mutakhir

Bicara kes rogol Paul Yong mula 11 November [METROTV]

Oleh Muhammad Apendy Issahak

PERBICARAAN kes Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Perak, Paul Yong Choo Kiong yang didakwa merogol pembantu rumah warga Indonesia ditetapkan selama lima hari bermula 11 hingga 15 November ini.

Tertuduh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh itu didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen Ipoh pada 23 Ogos lalu dan mengaku tidak bersalah serta minta dibicarakan.

Hakim Norashima Khalid menetapkan tarikh perbicaraan itu ketika sebutan semula kes berkenaan hari ini.

Paul Yong didakwa merogol mangsa berusia 23 tahun antara jam 8.15 hingga 9.15 malam, 7 Julai lalu di sebuah bilik di tingkat atas di Desa Meru 2, Meru Desa Park, Meru Raya.

Pihak pembelaan diketuai Ramkarpal Singh dan disertai Leong Cheok Keng, R S N Rayer dan Farhan Sapian.

Pendakwaan pula dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Azhar Mokhtar, Ainul Wardah Shahidan dan Naidatul Athirah Azman.

Kedua-dua pihak bersetuju dengan tarikh berkenaan dan pihak pendakwaan memaklumkan akan memanggil seramai 24 saksi pendakwaan.

Bagaimanapun, pihak pembelaan memohon mahkamah menetapkan satu tarikh sebutan semula kes terbabit sebelum perbicaraan kerana perlu menyemak semua dokumen yang diterima hari ini termasuk laporan forensik dan saintifik.

Pihak pembelaan juga perlu meneliti dan merujuk kepada pihak pakar mengenai jawapan balas daripada pendakwaan mengenai representasi penangguhan pendakwaan yang dibuat pihaknya susulan dakwaan terdapat konspirasi dalam kes berkenaan yang membabitkan bayaran RM100,000 kepada individu yang membawa mangsa membuat laporan polis selain turut diugut menggunakan pistol.

Norashima kemudian menetapkan 22 Oktober ini sebagai sebutan semula kes berkenaan.

Turut hadir dalam prosiding hari ini adalah peguam pemerhati bagi pihak keluarga mangsa diwakili Gabriel Susayan dan Shalvin Kanvinchelvan serta peguam pemerhati bagi Kedutaan Indonesia.

Ketika prosiding hari ini, Gabriel turut mencelah dan memaklumkan mahkamah pihaknya diberitahu terdapat dakwaan yang mangsa dipergunakan untuk kepentingan politik pihak tertentu.

Disiarkan pada: September 24, 2019 @ 10:58am
d