mutakhir

Jerebu: 280 pelajar Malaysia dievakuasi

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

SERAMAI 280 pelajar Malaysia di Pekanbaru dan Jambi akan dievakuasi selepas Gabenor Riau, Indonesia mengisytiharkan darurat di kawasan itu bermula semalam ekoran keadaan jerebu yang semakin teruk.

Menurut Unit Komunikasi Korporat Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Konsul Jeneral Malaysia di Pekanbaru dan Education Malaysia Indonesia memaklumkan terdapat 183 pelajar di Pekanbaru dan 97 pelajar di Jambi yang akan dievakuasi daripada kawasan darurat terbabit.

“Daripada jumlah itu, seramai 160 pelajar akan di bawa pulang ke Malaysia manakala 120 akan dievakuasi ke Dewan Malaysia di Jakarta (bagi urusan visa).

“NADMA, Wisma Putra dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bersama-sama agensi berkaitan akan bermesyuarat hari ini untuk membincangkan operasi evakuasi membawa pulang 160 pelajar Malaysia yang berada di Pekanbaru dan Jambi," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Gabenor Riau, Indonesia mengisytiharkan Darurat bermula 23 September hingga 31 Oktober 2019 dan akan dilanjutkan jika keadaan pencemaran udara tidak berubah.

Pengumuman itu dibuat apabila keadaan jerebu di Riau sejak tiga hari lalu semakin merosot di mana sejak pagi Isnin asap tebal menyelubungi ibu negeri Pekanbaru itu.

Sehingga semalam jarak penampakan adalah 500 meter dengan bacaan 600 Indeks Pencemaran Standard (PSI).

Selain itu, menurut Badan Meteorologi, Klimatologi, dan Geofisika (BMKG) Indonesia, sehingga semalam terdapat 1,591 titik panas menunjukkan kebakaran merentasi Pulau Sumatera dan Sumatera Selatan.

Ia mencatatkan jumlah titik panas tertinggi iaitu 675 diikuti 505 di Jambi dan 256 di Riau.

Lagi berita berkaitan Ancaman Jerebu

Disiarkan pada: September 24, 2019 @ 11:06am
d