mutakhir

Padah curi balat

Oleh Poliana Ronnie Sidom

DUA bot nelayan asing bersama 12 warga Vietnam ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) kerana menceroboh dan merompak hasil laut di perairan Beluran, Sandakan.

Turut dirampas ialah 100 kilogram (kg) balat yang dipercayai ditangkap di perairan negara dengan bot pertama ditahan pada 9.40 pagi di kedudukan 12.6 batu nautika timur laut Pulau Billean, Ahad lalu.

Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Sandakan, Komander Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid berkata, bot nelayan asing kedua pula ditahan pada kedudukan 25 batu nautika timur laut Pulau Jambongan, 10.30 pagi hari sama.

“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua bot membabitkan 12 warga Vietnam berusia antara 23 hingga 48 tahun tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan perjalanan sah.

“Ia kes kedua membabitkan bot nelayan asing Vietnam ditahan bulan ini.

“Mereka dipercayai menceroboh perairan negara untuk menangkap balat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Khairulanuar berkata, semua rampasan dan tangkapan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Perikanan 1985.

Disiarkan pada: September 24, 2019 @ 11:21am
d