mutakhir

Polis tahan tiga suspek bakar rumah, kereta

Oleh Muhammad Apendy Issahak

TIGA lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes kematian suri rumah akibat terkejut selepas rumahnya di Jalan New Delhi, Buntong, Ipoh diserang sekumpulan lelaki kelmarin ditahan polis bagi membantu siasatan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mohd Nordin Abdullah berkata, ketiga-tiga lelaki berusia antara 25 hingga 27 tahun itu ditahan di sekitar Ipoh 4.30 petang semalam.

“Suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan kerana dengan cuai menyebabkan kematian.

“Polis percaya penangkapan tiga lelaki itu yang bekerja sendiri dapat menyelesaikan kes berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Harian Metro semalam melaporkan M Abiramy, 44, maut selepas tidak sedarkan diri dipercayai akibat terkejut apabila rumahnya diserang sekumpulan lelaki yang memecahkan kereta anaknya di Jalan New Delhi, Buntong.

Dalam kejadian 7.30 malam, wanita itu pengsan di kediamannya sebelum dibawa ke hospital oleh ahli keluarganya untuk mendapatkan rawatan namun disahkan meninggal dunia 8.30 malam.

Rumah mangsa selain sebuah kereta dan tiga motosikal kemudian turut musnah terbakar dipercayai akibat perbuatan khianat kumpulan lelaki yang menyerang itu.

Berita berkaitan

[UPDATE] Mati sakit jantung akibat terkejut

Ajal akibat terkejut

Disiarkan pada: September 24, 2019 @ 12:28pm
d