mutakhir

Bangsal rumahku

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

LULUH hati melihat tujuh sekeluarga termasuk bayi berusia 18 bulan tinggal dalam bangsal tanpa pintu dan hanya berdindingkan atap, zink, kain serta kayu ihsan daripada penduduk di Kampung Baru, Pantai Mek Mas, Kota Bharu.

Mereka tinggal di bangsal itu sejak 10 hari lalu kerana tidak mampu membayar sewa rumah berikutan pendapatan ketua keluarga tidak menentu.

Imran Amin, 59, berkata, sebelum ini dia dan keluarga terpaksa menyewa di beberapa rumah di sekitar negeri itu.

Katanya, dia hanya bekerja sebagai pengamal perubatan Islam dengan pendapatan tidak menentu.

“Kami sekeluarga pernah tinggal di sebuah rumah di Kubang Kerian selama lebih 15 tahun dengan sewa RM250 sebulan sebelum berpindah ke sebuah pondok di Pasir Puteh dan kembali menyewa sebuah rumah di Pasir Puteh RM350 sebulan selama beberapa bulan.

“Sejak 10 hari lalu, kami mengambil keputusan tinggal di bangsal ini kerana tidak mampu menanggungnya.

“Alhamdulillah, dengan ihsan penduduk, mereka bergotong-royong mendirikan sebuah bangsal di atas tanah rizab pantai untuk kami.

“Walaupun tanpa pintu dan berdindingkan kain, kayu, atap dan zink, namun kami gembira di sini kerana penduduk kampung sangat baik serta suka membantu,” katanya ditemui hari ini.

Menurutnya, kesusahan hidup menyebabkan tiga anaknya Siti Nur Shafiqah, 16, Siti Nor Hidayah, 13, dan Mohammad Amirul, 8, terpaksa berhenti sekolah kerana tidak mampu membayar yuran.

“Anak sulung, Siti Nuha Tasurun Naazirin, 19, hanya bersekolah setakat tingkatan satu dan kini berada di Kuala Lumpur membantu ibu rakannya menjual kuih sejak tiga bulan lalu.

“Buat masa ini, saya mahu mendapatkan sebuah rumah yang sempurna buat anak-anak dan saya mahu berniaga untuk mencari pendapatan buat keluarga,” katanya.

Isterinya, Zainun Yaakob, 39, berkata, kemiskinan menyebabkan mereka makan nasi bersama budu atau ulam-ulaman saja.

“Mujur anak-anak tidak merungut kerana kami makan apa yang ada kerana kehidupan kami susah sejak dulu lagi namun kami tidak suka meminta,” katanya.

Orang ramai yang mahu menghulurkan sumbangan boleh disalurkan ke akaun CIMB 7623561103 atas nama Imran Amin.

Disiarkan pada: September 24, 2019 @ 1:15pm
d