mutakhir

Jerebu: 14 kawasan tidak sihat

Oleh BERNAMA

KUALITI udara di seluruh negara bertambah baik tengah hari ini apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) terus menunjukkan penurunan dengan hanya 14 kawasan merekodkan bacaan IPU tidak sihat berbanding 25 kawasan pada 7 pagi tadi.

Menurut Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), empat kawasan di Selangor masih mencatatkan bacaan IPU tidak sihat dengan stesen Johan Setia, Klang merekodkan bacaan paling tinggi iaitu (170), Banting (122), Klang (116) dan Shah Alam (103).

Kualiti udara tidak sihat turut direkodkan di tiga stesen di Negeri Sembilan iaitu Nilai (136), Seremban (106) dan Port Dickson selain Segamat, Johor (110); Temerloh, Pahang (133) ; Kemaman, Terengganu (103); Tanah Merah, Kelantan (103); Putrajaya (122) serta dua kawasan di Perak iaitu Tasek Ipoh (123) dan Seri Manjung (131).

Sementara 51 kawasan lagi merekodkan bacaan IPU sederhana.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini memaklumkan jerebu yang melanda negara sejak dua minggu lepas dijangka bertambah baik berikutan fasa peralihan monsun bermula hari ini sehingga awal November ini.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Disiarkan pada: September 24, 2019 @ 2:19pm
d