mutakhir

Kes SUV terjunam: Saksi pertama tunjuk 85 gambar [METROTV]

Oleh Shamsul Munir Safini

SAKSI pertama pendakwaan kes kemalangan maut membabitkan kenderaan utiliti sukan (SUV) yang terhumban ke laut di Kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang arah Seberang Perai menunjukkan kepada Mahkamah Majistret Bukit Mertajam 85 gambar kemalangan pada hari pertama perbicaraan kes itu, hari ini.

Koperal Abdul Rashid Mohamud, 59, yang juga jurufoto di Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSJPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (IPDSPT) menyerahkan kepada mahkamah 85 salinan gambar kemalangan yang berlaku pada 20 Januari 2019 itu.

Tertuduh K Vaitheswaran, 21, yang duduk di kandang tertuduh hanya diam ketika perbicaraan berlangsung.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Afiqah Zakaria meminta Rashid menjelaskan kepada mahkamah perincian kesemua gambar yang diambilnya.

Rashid menjelaskan bahawa kesemua gambar terdiri daripada 23 keping gambar kejadian kemalangan, 28 gambar kereta SUV diangkat dan 34 gambar bedah siasat.

“Kesemua gambar ini diambil selepas mendapatkan arahan daripada Inspektor Ahmad Farid Mohd Zahard yang juga pembantu pegawai Penyiasat dalam kes ini dan saya diarahkan untuk mengambil gambar kesan kemalangan di lokasi kejadian.

“Di dalam senarai itu juga, turut dimuatkan gambar geseran kedua-dua kereta di pembahagi jalan, kesan kemalangan serta gambar bedah siasat mangsa,” katanya.

Hakim yang bertindak sebagai Majistret, Ahzah Fariz Ahmad Khairuddin kemudian menangguhkan prosiding dan menetapkan 20, 21 November dan 3 Disember ini sebagai tarikh perbicaraan disambung.

Dalam kejadian 20 Januari lalu, penuntut kolej swasta, Moey Yun Peng, 20, maut selepas SUV yang dipandunya berlanggar dengan Toyota Vios di Kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang sebelum terhumban ke laut.

Selepas tiga hari operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan, mayat mangsa dan kenderaannya berjaya dinaikkan menggunakan kren, 5.50 petang.

Tertuduh, K Vaitheswaran yang juga rakan mangsa dituduh di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam pada 11 Februari lalu mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan dia diwakili peguam S Parameswaran.

Disiarkan pada: September 24, 2019 @ 2:42pm
d