mutakhir

Wanita berpakaian hitam bukan suspek buang bayi

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

WANITA yang kelibatnya kelihatan dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Terminal Sentral Kuantan, sebelum penemuan mayat bayi lelaki berserta tali pusat semalam, sudah dipanggil membantu siasatan.

Sumber polis berkata, bagaimanapun wanita terbabit bukanlah individu yang bertanggungjawab membuang bayi berkenaan dan keterangannya diambil sebagai satu prosedur melengkapkan kertas siasatan.

Menurut sumber itu, kelibat wanita terbabit dirakam dalam keadaan mencurigakan dengan memakai baju hitam sambil membawa sebuah bagasi memasuki tandas itu pada jam 5.58 pagi.

“Wanita terbabit bukanlah suspek yang kita buru, keterangannya sudah diambil bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam kejadian 9.50 pagi itu, mayat bayi berkenaan ditemui kakitangan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) yang kebetulan masuk ke tandas terletak di tingkat satu terminal itu.

Mayat bayi itu kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk proses bedah siasat.

Sementara itu, sumber memaklumkan polis sedang meneliti rakaman CCTV pada beberapa hari sebelum mayat bayi itu ditemui.

Katanya, ia berdasarkan siasatan pihaknya yang mendapati tandas di terminal itu masih digunakan orang ramai walaupun ia didakwa sedang diselenggara dan ditutup untuk orang awam.

Berita berkaitan

Darah melimpah dari mangkuk tandas

Disiarkan pada: September 24, 2019 @ 3:28pm
d