mutakhir

Didakwa ambil wang tahfiz

Oleh Siraj Mohd Zaini

PENGERUSI dan pengetua sebuah maahad tahfiz masing-masing dihadapkan ke Mahkamah Majistret Klang hari ini atas tiga pertuduhan pecah amanah wang pelajar untuk melanjutkan pengajian ke Turki sebanyak RM50,600.

Kedua tertuduh yang juga pasangan suami isteri, Ahmad Shukri Ghazali, 47, dan Zunairah Awang, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Solehah Noratikah Ismail dan Roslizi Sulaiman.

Mengikut semua pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama sebagai pengerusi dan pengetua maahad tahfiz dengan curangnya menyalahgunakan harta iaitu wang pembayaran tujuan pembelajaran tiga orang pelajar ke Turki iaitu RM17,000, RM16,800 dan RM16,800.

Perbuatan itu didakwa dilakukan antara 14 November 2018 hingga 11 Februari tahun ini di dua bank berasingan di daerah Klang.

Berikutan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan sebatan serta denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Suhaili Abu Bakar, manakala tertuduh diwakili Nor Azri Mohd Arif.

Dalam pada itu, Nor Azri memohon jumlah jaminan sebanyak RM4,000 diberikan mahkamah kepada setiap tertuduh dengan alasan kedua-dua mereka kini tidak mempunyai pekerjaan tetap selepas maahad tahfiz berkenaan ditutup selain terpaksa menyara tujuh orang anak serta ibunya berusia 80 tahun.

Dalam permohonannya itu juga, katanya, Zunairah kini sedang sarat mengandung anak kelapan dan bakal melahirkan cahaya mata itu pada awal November ini.

“Selepas kes ini tular sejak tahun lalu, ramai ibu bapa tidak menghantar anak mereka ke maahad tahfiz sehingga ia terpaksa ditutup.

Kedua-dua majistret kemudiannya menetapkan jumlah jaminan sebanyak RM18,000 setiap seorang serta kedua-duanya perlu melaporkan diri ke balai polis berhampiran setiap bulan selain pasport diserahkan kepada mahkamah.

Tarikh sebutan semula dan penyerahan dokumen ditetapkan pada 16 Oktober ini.

Disiarkan pada: September 24, 2019 @ 4:30pm
d