mutakhir

Guru maut terpelanting

Oleh Muhammad Apendy Issahak

GURU lelaki maut selepas motosikal ditunggangi dipercayai bergesel kereta sebelum melambung dan terjatuh di atas but belakang kereta berkenaan, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 8 pagi di Jalan Jelapang, berhampiran Chepor, Ipoh, Mohd Hanafe Ramli, 33, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mohd Nordin Abdullah berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu pada jam 8.10 pagi membabitkan motosikal Yamaha 135LC ditunggangi mangsa dan kereta Honda Accord dipandu lelaki berusia 22 tahun.

Menurutnya, siasatan awal di tempat kejadian mendapati, kedua-dua kenderaan datang dari arah sama dari Meru menghala ke Chepor.

“Apabila tiba di tempat kejadian, kedua-dua kenderaan dipercayai bergesel lalu menyebabkan penunggang motosikal melambung jatuh di atas but belakang kereta berkenaan.

“Kemalangan mengakibatkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu kereta tidak mengalami kecederaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mayatnya mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan hasil bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan kecderaan di kepala.

“Siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan setakat ini tiada tangkapan dilakukan,” katanya.

Disiarkan pada: September 24, 2019 @ 4:32pm
d