mutakhir

Bima Suci 945 berlabuh di Pelabuhan Klang

Oleh Siraj Mohd Zaini

KAPAL Republik Indonesia (KRI) Bima Suci 945, yang juga kapal layar tiang tinggi terbaharu negara itu berlabuh di jeti Pusat Hidrografi Nasional, Pelabuhan Klang, hari ini.

Kapal buatan Sepanyol sepanjang 111 meter yang membawa 190 orang anak kapal dengan 83 daripadanya adalah kadet dari Akademi Angkatan Laut Indonesia itu berlabuh kira-kira 9 pagi tadi.

Ketibaan kapal yang diketuai Komandan Bima Suci 945, Leftenan Kolonel Laut (P) Waluyo S.H.M.Tr Hanla disambut Asisten Ketua Staf Sumber Manusia Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Laksamana Pertama Anuar Mohamed.

Kapal yang dalam misi diplomasi itu berlayar dari Brunei dengan turut disertai lima pegawai TLDM iaitu Leftenan Muda Mohd Dzuhair Mohd Nizar, Leftenan Muda Joeneldy Ropplin, Leftenan Muda Mohd Fahmi Hamidun, Leftenan Muda Muhammad Faiq Asyraf Muhammad Haris dan Leftenan Muda Muhammad Syafiq Sholihin Azhar.

Sementara itu, Anuar berkata, kapal berkenaan akan berlabuh selama tiga hari dan akan menjalankan pelbagai program yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

Beliau berkata, selain kru kapal Bima Sakti 945 akan mengadakan persembahan pancaragam di Menara Berkembar Petronas (KLCC), pegawai kadet dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) juga akan melawat kapal berkenaan bagi tujuan pembelajaran mengenai aspek pelayaran.

“Lawatan kapal ini bertujuan mempereratkan hubungan dua hala di antara negara yang mereka kunjungi dalam pelayaran ini.

“Selain itu, kapal ini juga membawa pegawai kadet mereka dan oleh itu kita juga akan bawa pegawai kadet dari UPNM untuk mereka sama-sama belajar mengenai aspek pelayaran di dalam kapal ini,” katanya ketika ditemui Harian Metro.

Kapal Bima Suci 945 memulakan misi pelayaran diplomasinya pada 5 Ogos lalu di Surabaya, Indonesia dan sudah melawat Manila (Filipina), Osaka (Jepun), Busan (Korea Selatan), Shanghai (China) dan Brunei.

Selepas Malaysia, mereka akan meneruskan pelayaran ke Phuket (Thailand), Yangoon (Myanmar), Padang dan Bali (Indonesia) serta Darwin (Australia) sebelum pulang semula ke Surabaya.

Dalam pada itu, pelayaran selama lima hari dari Brunei ke Pelabuhan Klang disifatkan sebagai pengalaman berharga kepada Leftenan Muda Mohd Dzuhair Mohd Nizar.

Pegawai TLDM dari kapal Kapal Diraja (KD) Sultan Idris 1 itu berkata, kapal Bima Suci 945 bertindak sebagai duta politik kepada negara berkenaan untuk menjalin hubungan lebih erat dengan negara yang dilawatinya.

“Kapal ini dibina untuk melatih kadet laut mereka dan saya berbesar hati dapat berkongsi budaya dengan mereka.

“Sepanjang pelayaran kami perlu mengikuti jadual pelatih mereka dan pelbagai perkara dapat dipelajari terutamanya budaya negara mereka serta aspek navigasi di lautan,” katanya.

Disiarkan pada: September 24, 2019 @ 4:35pm
d