mutakhir

Tak jadi catu air di Melaka

Oleh Rizanizam Abdul Hamid

CADANGAN pelaksanaan catuan bekalan air di Melaka seperti ditularkan hari ini baru di peringkat permohonan daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan belum boleh dilaksanakan.

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB), Datuk Mohd Khalid Nasir berkata, permohonan daripada pihaknya itu bertarikh Ahad lalu seperti ditularkan di media sosial hari ini dan ia juga disifatkan boleh diabaikan.

“Setakat ini SPAN tak luluskan lagi permohonan jadi kita belum boleh mulakan pelaksanaan catuan seperti ditulis dalam surat itu.

“Saya rasa kita boleh abaikan permohonan itu kerana sekarang pun Melaka sudah dua kali menerima taburan hujan lebat iaitu petang semalam dan petang ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sejak pagi tadi media sosial ditularkan dengan permohonan surat rasmi berkepala surat SAMB yang ditandatangani Mohd Khalid memohon pelaksanaan cadangan berkenaan daripada SPAN.

Turut dikongsi adalah 12 muka surat pelan tindakan catuan Bekalan Air Berjadual (BAB) yang dikategorikan sebagai ‘Sulit Tidak Boleh Didedahkan’ untuk dilaksanakan bermula esok.

BAB itu didakwa membabitkan keseluruhan 313 kawasan dalam daerah Melaka Tengah iaitu 125 di Zon 1 dan 188 di Zon 2.

Mengulas lanjut, Mohd Khalid berkata, beliau terkejut dan kesal dengan penularan surat rasmi berkenaan yang sepatutnya tidak dipamerkan kepada umum.

“Kita abaikan permohonan itu yang dibuat Ahad lalu kerana berdasarkan situasi terkini, kita sedang usahakan untuk penuhkan empangan dan loji rawatan air,” katanya.

Disiarkan pada: September 24, 2019 @ 6:05pm
d