mutakhir

LRA Simpang Renggam nazak

Oleh Adnan Ibrahim

MUSIM panas berpanjangan di negeri ini, menyebabkan keadaan kian ‘nazak’ susulan Loji Rawatan Air (LRA) Simpang Renggam gagal membekalkan air secara maksimum kepada 149,550 pengguna.

Tinjauan wartawan mendapati beberapa anak sungai yang menjadi sumber air di Sungai Benut di sini, kering dan keadaan ini berpunca cuaca panas berpanjangan sejak lebih sebulan lalu.

Selain itu, Empangan Machap yang menjadi harapan terakhir membantu meningkatkan paras air di muka sauk LRA Simpang Renggam turut berada dalam keadaan kritikal, malah air yang dialirkan ke Sungai Benut juga minimum.

Seorang kaki pancing yang hanya mahu dikenali sebagai Ismail, 30, berkata, tiada lagi sungai di Simpang Renggam boleh dijadikan tempat memancing kerana hampir keseluruhan anak sungai serta Sungai Benut susut hanya separas lutut.

Katanya, jika cuaca panas berterusan, tidak mustahil Sungai Benut kering dan menjejaskan bekalan air mentah ke LRA.

“Memang ada hujan, tetapi jumlah hujan amat sedikit dan tidak meningkatkan paras air sungai atau empangan. Keadaan ini membimbangkan penduduk kerana tidak sanggup bergantung pada Bekalan Air Berjadual (BAB) dilaksanakan Ranhill SAJ ketika ini.

“Walaupun bekalan air dibekalkan mengikut jadual ditetapkan, pelaksanaan BAB tetap mengganggu kelancaran hidup harian penduduk di sini,” katanya.

Ismail berkata, penduduk berharap pihak berkuasa melakukan pembenihan awan di sekitar Machap bagi membolehkan hujan turun dengan lebat, sekali gus membanjiri sungai di kawasan itu.

Pekebun, Rosman Razak, 55, berkata, dia terpaksa menghentikan penanaman cili yang diusahakan sebelum ini kerana cuaca panas serta kekurangan air untuk menyiram tanaman mengikut jadual.

“Sebelum ini saya mengepam air dari anak sungai berdekatan kebun, namun cuaca panas berpanjangan menyebabkan anak sungai hampir kering dan tiada air boleh dipam untuk menyiram tanaman,” katanya.

Disiarkan pada: September 25, 2019 @ 6:05am
d