mutakhir

Wanita maut ditimpa pokok kelapa

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

WANITA yang parah selepas anjung rumahnya ditimpa pokok kelapa setinggi 15 meter yang tumbang di Jalan Matang Kurau, Kampung Sungai Batu, Pantai Remis di Manjung, meninggal dunia semalam.

Mangsa, Ramlah Sipar, 52, disahkan meninggal dunia sejurus tiba di wad kecemasan Hospital Seri Manjung untuk mendapatkan rawatan.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, kejadian berlaku pada 6 petang, semalam ketika hujan lebat dan angin kencang.

“Anak mangsa memaklumkan ketika kejadian berlaku mangsa sedang mengambil baju yang disidai di anjung rumah.

“Angin kencang menyebabkan pokok kelapa tumbang dan menghempap bumbung serta mangsa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, bomba yang tiba di lokasi kejadian membantu memotong pokok kelapa dan mengeluarkan mangsa yang dihempap pokok berkenaan.

“Mangsa yang cedera kemudian dihantar ke Klinik Kesihatan Pantai Remis sebelum dibawa ke wad kecemasan Hospital Seri Manjung (HSM) dengan ambulans.

“Sebaik tiba di wad kecemasan mangsa disahkan sudah meninggal dunia dan bedah siasat dijalankan di Unit Forensik HSM pagi ini,” katanya.

Media malam tadi melaporkan, wanita berkenaan parah di kepala selepas anjung rumahnya ditimpa pokok kelapa yang tumbang susulan ribut dan hujan lebat.

Disiarkan pada: September 25, 2019 @ 9:09am
d