mutakhir

Terpaksa bersesak dalam masjid

Oleh Siti Rohana Idris

BUKAN saja tempat beribadat dan menghafaz al-Quran, masjid di Maahad Tahfiz Darul Fiqhi, Lubok Jong, Pasir Mas terpaksa dijadikan sebagai asrama berikutan berdepan kekangan dana.

Dalam keadaan sesak dan tidak selesa, 38 pelajar antara 8 hingga 17 tahun sudah lali dengan keadaan itu

Timbalan Mudirnya, Mohd Taufik Mustapha berkata, di awal penubuhan maahad tahfiz itu pada 2012, hanya enam pelajar dengan dua rumah dijadikan sebagai kediaman.

Katanya, pertambahan jumlah pelajar menyebabkan pihaknya terpaksa memindahkan mereka ke masjid.

“Ruangan masjid dibahagikan kepada dua iaitu ruang solat atau menjalankan aktiviti keagamaan dan satu lagi tempat tidur pelajar yang menempatkan sejumlah katil bertingkat.

“Memandangkan ruangnya agak sempit, pelajar tidak selesa kerana panas dan sesak sehingga ada yang tidur di ruang solat pada waktu malam,” katanya ketika ditemui semalam.

Menurutnya, pada masa kini pihaknya tidak bercadang menambah jumlah pelajar meskipun banyak permohonan diperoleh kerana tidak mampu menyediakan asrama.

“Maahad tahfiz ini baharu membuat permohonan berdaftar di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dan kami tiada peruntukan membina kemudahan asrama.

“Yuran yang dikenakan kepada pelajar sebanyak RM205 sebulan hanya cukup untuk menampung kos makan minum, penginapan dan bayaran gaji kepada lima tenaga pengajar saja,” katanya.

Pelajar, Abdul Basit Syubri, 17, berkata dia sudah empat tahun berada di maahad tahfiz berkenaan dan menetap di sana bersama adiknya, Ahmad Awab, 11.

“Biarpun terpaksa bersesak di dalam masjid, ia sama sekali tidak melunturkan semangat untuk menuntut ilmu.

“Kami cuma perlu lebih mementingkan kebersihan dengan secara bergilir membersihkan tandas, masjid serta kawasan sekeliling yang dilakukan tiga kali seminggu,” katanya.

Orang ramai yang ingin memberikan sumbangan untuk pembinaan asrama boleh berbuat demikian ke akaun Bank Islam milik maahad tahfiz ini iaitu 03027010044743.

Disiarkan pada: September 25, 2019 @ 11:12am
d