mutakhir

Dadah lebih RM200,000 dirampas

Oleh Mohd Sabran Md Sani

DUA wanita Vietnam antara tiga individu ditahan bersama pelbagai jenis dadah serta kenderaan membabitkan nilai keseluruhan RM338,444 dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Kota Impian 2, Yong Peng, dekat Batu Pahat, malam kelmarin.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, suspek berusia antara 29 hingga 43 tahun itu ditahan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor, pada 11 malam.

“Sebanyak 5.082 kilogram (kg) heroin, 444 gram syabu dan 450 biji pil Eramin 5 bernilai RM232,230 yang ditemui di kawasan rumah itu dirampas.

“Turut dirampas sebuah kereta jenis Volvo dan menyita dua kenderaan lain termasuk Proton Satria dan Toyota Wish, selain seutas jam tangan berjenama dan wang tunai RM1,214 dengan nilai keseluruhan RM106,214,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di Johor Bahru, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya percaya suspek lelaki berusia 43 tahun serta dua wanita warga Vietnam yang mempunyai hubungan sebagai rakan menyewa di premis itu.

“Kami tidak menolak mereka menjalankan aktiviti di premis itu sejak sebulan lalu.

“Bagaimanapun tujuan dadah itu sama ada untuk pengedaran atau penjaga stor masih dalam siasatan polis,” katanya.

Katanya, ujian saringan air kencing mendapati ketiga-tiga mereka positif syabu.

“Semakan mendapati suspek lelaki mempunyai lima rekod jenayah lampau berkaitan dadah termasuk 379A Kanun Keseksaan,” katanya

Beliau berkata, semua suspek direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 30 September ini bagi siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Pihak polis berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang berlaku di sekiling mereka,” katanya.

Disiarkan pada: September 25, 2019 @ 11:17am
d