mutakhir

Pegawai bank ditipu 'pilot'

Oleh Hadzlihady Hassan

PEGAWAI bank kerugian RM12,580 selepas terpedaya dengan sindiket African Scam, awal bulan ini.

Mangsa yang juga wanita berusia 31 tahun pada mulanya berkenalan dengan lelaki tempatan di media sosial yang mendakwa bekerja sebagai juruterbang di Poland.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, suspek kemudian menghantar kiriman WhatsApp kepada mangsa mengatakan dia menghantar barang berharga melalui kurier sebagai tanda persahabatan.

“Sehari selepas itu, mangsa dihubungi ejen syarikat kurier memberitahu barangan dihantar kenalannya itu sudah sampai.

“Mangsa kemudian diminta membuat bayaran kos pengangkutan serta caj lain untuk penghantaran barang itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, mangsa kemudian melakukan dua transaksi wang pada 19 dan 23 September lalu berjumlah RM12,850.

“Bagaimanapun, dia mula menyedari ditipu sebelum membuat laporan polis semalam.

“Setakat kita sedang mengesan suspek bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Disiarkan pada: September 25, 2019 @ 1:10pm
d