mutakhir

MAQIS rampas sosej babi

Oleh Mohd Sabran Md Sani

JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Johor merampas sebanyak 26 bungkusan kecil sosej babi seberat 3.5 kilogram di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS), pada 11.40 pagi, Ahad lalu.

Pengarah MAQIS Johor, Nur Afifah A Rahman berkata, barangan yang dibungkus di dalam kotak itu diseludup masuk wanita Vietnam berusia 30an tanpa dokumen seperti Permit Import (IP), Sijil Kesihatan dari negara asal.

“Hasil pemeriksaan yang dilakukan pegawai penguatkuasa MAQIS, menemukan 26 bungkusan kecil sosej babi yang dimuatkan dalam sebuah kotak.

“Arahan larangan membawa masuk, dikeluarkan oleh kerajaan kerana isu penyebaran penyakit African Swine Fever (ASF) dari beberapa negara seperti China, Laos, Poland, Myanmar, Hong Kong, Cambodia, Belgium termasuk Vietnam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, tujuan larangan pengimportan serta membawa masuk daging babi dan produk babi berkenaan adalah bagi menghalang risiko kemasukan virus ASF ke negara ini.

“Ia akan merosakkan industri penternakan babi negara. Antara produk-produk yang berisiko dalam penularan virus ASF adalah seperti babi hidup, daging babi sejuk beku, daging babi proses seperti babi salai, sosej babi dan sebagainya,” katanya.

Katanya, perbuatan mengimport hasilan haiwan tanpa Import Permit MAQIS yang sah adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 11 (1) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 11 (3) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan 2011 [Akta 728].

“Jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh didenda tidak melebihi RM150,000 atau penjara tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Akta MAQIS digunapakai untuk mengawal aktiviti import atau eksport keluaran pertanian termasuk haiwan atau hasilan haiwan untuk memastikan segala aktiviti import atau eksport mematuhi syarat yang ditetapkan.

Disiarkan pada: September 25, 2019 @ 3:41pm
d