mutakhir

Mangsa gangguan seksual seawal 7 tahun

Oleh Khairul Najib Asarulah Khan

SEBANYAK 186 kes gangguan seksual direkodkan polis membabitkan mangsa berusia tujuh hingga 18 tahun sejak Januari tahun ini hingga Ahad lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, sebanyak 39 kes membabitkan kanak-kanak berusia tujuh hingga 10 tahun, 11 hingga 12 tahun (33 kes), 13 hingga 16 tahun (94 kes) dan 17 hingga 18 tahun (20 kes).

“Terdapat penurunan sebanyak 8.37 peratus iaitu 17 kes berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.

“Kes yang direkodkan itu ada yang dilaporkan berlaku di sekolah dan juga luar sekolah,” katanya kepada media hari ini.

Beliau ditemui selepas Program Pencegahan Jenayah Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Kampung Pandan, Kuala Lumpur hari ini.

Mazlan berkata, pihaknya akan mempergiatkan program antara Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) bersama guru dan murid dalam memberi maklumat dan kesedaran mengenai unsur berkaitan gangguan seksual.

“Kita harap dengan program yang diatur kelak dapat mengurangkan lagi kes dan membuka pengetahuan murid mengenai kejadian berkaitan gangguan berkenaan,” katanya.

Disiarkan pada: September 25, 2019 @ 3:47pm
d