mutakhir

'Cuti sampai jerebu pulih' - Maszlee

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

SEMUA 160 penuntut Malaysia di Riau dan Jambi yang dibawa pulang ke tanah air bermula hari ini dan esok susulan jerebu teruk melanda wilayah berkenaan akan terus berada di tanah air sehingga keadaan jerebu di sana pulih.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, kementerian akan menunggu pengumuman daripada kerajaan Indonesia sebelum membenarkan penuntut kembali ke universiti masing-masing.

“Penuntut yang dibawa pulang ini akan berada di tanah air sehingga keadaan pulih.

“Kita akan tunggu pengumuman Indonesia, sekiranya jerebu sudah pulih, kita akan benarkan mereka pulang ke sana,” katanya kepada media selepas menyambut kepulangan kumpulan pertama 47 penuntut Malaysia.

Ketibaan mereka pada 12.50 tengah hari di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) itu turut disambut Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya.

Maszlee berkata, penuntut yang mempunyai kesukaran berkaitan visa pula sudah dievakuasi ke Dewan Malaysia di Jakarta.

“Mereka yang berada di Jakarta ini tidak dapat di bawa pulang kerana tidak mendapat kad izin tinggal sementara (KITAS) jadi mereka juga akan berada di sana sehingga keadaan pulih,” katanya.

Selain itu katanya, kerajaan juga tidak mendapat laporan berkaitan masalah kesihatan penuntut kesan daripada jerebu di dua wilayah berkenaan.

Menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) seramai 120 penuntut Malaysia di Riau dan Jambi akan dievakuasi ke Dewan Malaysia di Jakarta.

Sementara itu Marzuki merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan Indonesia yang membantu proses evakuasi penuntut dari wilayah terbabit.

“Terima kasih kerana memberi bantuan terus kepada penuntut Malaysia dan melancarkan proses evakuasi,” katanya.

Lagi berita berkaitan Ancaman Jerebu

Disiarkan pada: September 25, 2019 @ 4:01pm
d