mutakhir

Tak mengaku rogol, kurung gadis bawah umur

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

PADAH merogol dan mengurung seorang remaja perempuan baharu tiga hari dikenali, seorang pekerja bengkel kereta dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Bagaimanapun, tertuduh berusia 30 tahun mengaku tidak bersalah bagi kedua-dua pertuduhan di hadapan Hakim Faiz Dziyauddin.

Bagi pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa merogol remaja berusia 16 tahun di sebuah hotel dekat Iskandar Puteri, Johor Bahru antara 11 malam, 17 September hingga 3 pagi, 18 September lalu.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Manakala bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mengurung remaja terbabit di tempat, waktu dan tarikh yang sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Sabiq Mohd Subri dan Zalina Yacob tidak menawarkan sebarang jaminan.

Bagaimanapun, tertuduh tidak diwakili peguam memohon ikat jamin sebelum mahkamah membenarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut mengarahkan tertuduh melapor diri setiap bulan di balai polis berhampiran dan melarang tertuduh mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 29 Oktober depan bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.

Disiarkan pada: September 25, 2019 @ 4:05pm
d