mutakhir

Dipenjara kerana sehelai baju

Oleh Sarah Zulkifli

PENUNTUT kolej warga Nigeria dipenjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini selepas dia mengaku bersalah atas dua pertuduhan mencuri sehelai kemeja-t dan tinggal lebih masa di negara ini, minggu lalu.

Majistret Mohamad Ikhwan Mohd Nasir menjatuhkan hukuman itu terhadap Abdallah Abd Hafi, 24, selepas kedua-dua pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam Bahasa Inggeris.

Lelaki itu yang berada di dalam kandang tertuduh dilihat tenang sepanjang prosiding.

Mahkamah memerintahkannya menjalani hukuman penjara secara serentak bermula dari tarikh dia ditangkap 16 September lalu.

Mengikut pertuduhan pertama, Abdalla didapati mencuri dalam bangunan dengan mencuri sehelai baju kemeja-t milik Pasaraya AEON Big, SS 16, Subang Jaya bernilai RM19.72, 2.30 petang pada 16 September 2019.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda.

Bagi pertuduhan kedua pula, dia sebagai warga Nigeria didapati tinggal di negara ini melebihi tempoh masa dibenarkan di tempat, waktu dan tarikh yang sama.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15 (4) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu mahkamah menjatuhkan hukuman ringan.

Timbalan Pendakwa Raya, Hakim Amir Abdul Hamid kemudian memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran.

Disiarkan pada: September 25, 2019 @ 4:55pm
d